Tuesday 23 November 2021

KOTA BHARU PERLUKAN LEBIH BANYAK TEMPAT RIADAH

 
Bandar Kota Bharu memerlukan lebih banyak tempat riadah seperti padang bola sepak, gelanggang futsal, dewan tertutup, kompleks sukan, taman permainan dan kemudahan sokongan lain. Kemudahan sukan dan riadah merupakan antara ciri-ciri yang diperlukan bagi sebuah bandar yang ingin mencapai status bandar raya. 

Kemudahan itu bertujuan menggalakkan rakyat menjadikan riadah dan bersukan satu budaya hidup. 

Namun, di Kota Bharu kemudahan untuk bersukan amat terhad. Tempat riadah seperti taman juga amat kurang. Satu-satunya tempat riadah atau taman yang menjadi pilihan masyarakat Kota Bharu adalah Taman Perbandaran Tengku Anis di Tanjung Chat.   

Kawasan bandar Kota Bharu memerlukan lebih banyak kemudahan sukan seperti mana terdapat di bandar-bandar besar lain di seluruh negara.

Sukan bukan sahaja untuk kesihatan dan pertandingan, tetapi ia juga cara untuk mewujudkan kerjasama dalam masyarakat, semangat berkumpulan, tidak mudah mengalah dan mengelak terlibat masalah sosial.

Kemudahan sukan dan riadah amat diperlukan khususnya mereka yang perlu untuk menjaga kesihatan.

Banyak orang mengidap penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, kegemukan dan sebagainya perlu melakukan riadah untuk mengawal penyakit dan proses penyembuhan.

Bagi golongan kaya, mereka boleh membeli peralatan kesihatan dan membina mini gimnasium di rumah sendiri. Tetapi, perkara ini sudah tentu tidak mampu disedikan oleh golongan miskin. Mereka terpaksa mengharapkan bantuan yang disediakan oleh kerajaan.

Kerajaan kena menyediakan kemudahan sukan, terutamanya gelanggang secara percuma jika ingin melihat lebih ramai rakyat yang minat bersukan.

Bersukan dan beriadah adalah sunah Nabi Muhammad. Baginda menggalakkan agar umat Islam mahir dalam bidang tertentu seperti menunggang kuda, memanah dan berenang. Baginda juga berlumba jalan kaki bersama Siti Aisyah.

Beriadah juga satu ibadat jika ia diniatkan untuk tujuan kebaikan dan dilakukan dengan tertib, tidak melalaikan dan tidak melibatkan pergaulan bebas lelaki perempuan.

No comments:

Post a Comment