Tuesday 19 March 2024

BAZAR RAMADAN TEPI SUNGAI PULAU RENJUNA

 
Penduduk di kepulauan delta Sungai Kelantan, kawasan jajahan Tumpat, seperti Pulau Pantai Haji Nik Mat, Pulau Seratus, Pulau Beluru, Pantai Suri, Pulau Teluk Renjuna, Pulau Aur, Pulau Tongkang dan Pulau Pantai Baru perlu ke dataran utama menaiki bot jika ingin mendapatkan juadah berbuka di bazar Ramadan. 
 
Namun tahun ini (2024), penduduk bekenaan tidak perlu lagi pergi jauh ke dataran utama untuk mendapatkan juadah berbuka apabila di Pulau Renjuna kini telah beroperasi bazar Ramadan yang menjual pelbagai jenis kuih, air dan buah-buahan.
 
Tapak bazar Ramadan itu dibina berhampiran tepi sugai, berhampiran dengan Klinik Kesihatan Teluk Renjuna. Kawasan tebing sungai yang kini lebih luas dan datar apabila dibina benteng menahan hakisan.
 
Pemilihan kawasan tersebut juga kerana ia tidak jauh dari jeti bagi memudahkan penduduk dari pulau lain datang dengan menaiki bot.

Bazar Ramadan di pinggir sungai anjuran Masjid Mukim Teluk Renjuna ini turut menyediakan tapak atau tempat untuk berbuka. Beli di bazar dan kemudian berbuka di tepi sungai dengan pemandangan indah. Selepas berbuka boleh terus bersembahyang Maghrib di masjid yang terletak tidak jauh daripada situ. 
 
Dengan beroperasinya bazar Ramadan di Pulau Renjuna bukan sahaja memberi kemudahan kepada penduduk mendapatkan juadah berbuka, tetapi juga memberi peluang kepada penduduk berniaga dan menjana pendapatan.