Nama Pantai Ndo atau dalam dialek Kelantan
dikenali Pata Ndo semakin terkenal. Pun begitu, bagi mereka yang tidak pernah
ke Pantai Ndo tentu ia kawasan pantai yang yang mengadap ke laut luas.
Sebenarnya, kawasan Pantai Ndo yang juga dikenali Padang Kemahkotaan adalah
berada di tebing sungai. Kedudukannya tidak jauh dari Stesen Kereta Api Tumpat,
stesen kereta api paling hujung di Pantai Timur.
Mengikut cerita orang dahulu, tempat itu memang asalnya mengadap laut luas dan layak dipanggil pantai. Dari Pantai Ndo dapat melihat kapal besar berlabuh di tengah laut kerana sukar untuk rapat ke patai disebabkan panTai yang cetek.
Perkataan 'ndo' pula ialah merujuk kepada buaian dalam dialek Kelantan. Pada
masa dahulu, di tempat itu terdapat beberapa buaian dan jongkang jongkit
sebagai taman permainan.
Walaupun di situ juga terdapat jongkang jongkit atau dalam dialek Kelantan
dipanggil conget cakdong, nama ndo lebih mudah disebut. Bayangkan jika nama
Pantai Conget Cakdong digunakan.
Selain itu terdapat juga kerusi batu yang biasa kita lihat dalam filem zaman P
Ramlee.
Pantai Ndo terletak di hujung bandar Tumpat
yang telah dimajukan sebagai tempat rekreasi. Terletak di tepi sungai (bukan
pantai) menjadikan Pantai Ndo sesuai dijadikan lokasi acara padang dan sungai.
Boleh dikatakan kawasan Pantai Ndo menjadi sebahagian kawasan bandar Tumpat.
Pembinaan benteng konkrit di tepi sungai
memberi keselesaan dan selamat untuk pengunjung berada di tepi sungai. Selain
itu ia menjadi pengkalan untuk bot dan perahu berlabuh di situ.
Tepi tebingan sungai itu dijadikan lokasi
pasar terapung. Pantai Ndo juga menjadi lokasi untuk Pasar Terapung Ramadan yang
memberi peluang penduduk dari pulau sekitar lembangan Sungai Kelantan
seperti Pulau Seratus, Pulau Timun, Teluk Renjuna dan beberapa kampung
lain memasarkan produk keluaran masing-masing dari atas bot.
Kawasan tersebut juga dijadikan lokasi perlumbaan perahu panjang.Terdapat juga
perkhidmat bot untuk menyusuri kawasan sungai yang damai dan melihat
kawasan hutan nipah dan bakau.
Untuk menjadikan kawasan sungai dan pulau di seberang lebih menarik, usaha
membersihkan kawasan dan mendalamkan sungai telah dilakukan. Tebing pulau
ditinggikan menggunakan tanah yang dikaut dari sungai.
Pantai Ndo kini menjadi lokasi kunjungan ramai,
terutama di kalangan warga bandar Tumpat dan kawasan sekitar.
No comments:
Post a Comment