Rom bimbang pengaruh dan kekuatan umat Islam.
Pengaruh dan kekuatan umat Islam semakin berkembang di
Semenanjung Tanah Arab selepas hijrah Rasulullah SAW ke Madinah. Banyak kawasan
di utara Madinah semakin dikuasai umat Islam sama ada melalui perjanjian damai
atau penguasaan kawasan.
Apabila pengaruh Nabi Muhammad SAW dan kekuatan umat Islam tersebar,
sekali gus memberikan tamparan hebat kepada Rom yang menjadi kuasa besar pada
masa itu.
Maharaja Rom Timur (Byzantine), Hercules memutuskan bagi menyekat pengaruh umat
Islam dengan menyerang utara Tanah Arab yang dikuasai umat Islam atau yang
mengadakan perjanjian dengan umat Islam.
Apabila berita rancangan Herbules itu itu sampai kepada pengetahuan Nabi
Muhammad SAW, baginda SAW mengarahkan umat Islam berkumpul bagi menghadapi Rom.
Untuk persiapan ketumbukan tentera Islam yang banyak bagi
menghadapi tentera Rom yang banyak dan kuat, Rasulullah SAW memutuskan dan mengumumkan
kutipan derma daripada umat Islam dan rakan sekutu.
Pada masa itu, Semenanjung Tanah Arab mengalami musim panas dan kesusahan,
kebun tamar pula sedang berputik yang perlu penjagaan.
Tambahan pula jarak antara Kota Madinah dengan Tabuk yang cukup jauh. Iman umat
Islam ketika itu benar-benar teruji.
Namun, mereka tetap taat kepada perintah Nabi Muhammad SAW. Baginda SAW sendiri
memimpin tentera seramai 30,000 orang ke utara Madinah.
Allah SWT berfirman mendedahkan sifat orang-orang munafik yang berpura-pura
Islam dan sifat orang yang ikhlas beriman sebenar-benarnya.
Firman Allah SWT bermaksud: “Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu
keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh,
pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa
oleh mereka.
"Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: Jikalau
kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu’.
"Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah
mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.”
(Surah Taubah, ayat 42)
Peristiwa bersejarah ini menyerlahkan kekuatan tentera Islam yang menyerahkan
harta dan diri mereka untuk Islam.
Mereka sedikit pun tidak beralasan mengelakkan diri daripada menyumbang
walaupun kemarau melanda membahangi mereka. Sebaliknya mereka berlumba-lumba
menyumbangkan harta masing masing.
Saidina Abu Bakar menyerahkan seluruh hartanya, Saidina Umar pula menyumbang
separuh daripada hartanya dan Saidina Uthman yang kaya menyumbangkan terlalu
banyak sehingga Rasulullah SAW berdoa supaya Allah SWT meredainya sepanjang
malam.
Orang yang miskin juga ada yang menyumbang walaupun sedikit sekalipun diejek
oleh orang-orang munafik. Manakala orang yang terlalu miskin, ada yang menangis
kerana tiada harta dan kenderaan bagi menyertai misi tentera Islam ke
Tabuk.
Operasi Perang Tabuk berlaku pada bulan Rejab hingga Ramadan
tahun 9 Hijrah (sekitar Oktober 631 Masihi).
Tabuk, sebuah kawasan di utara Tanah Arab (di sempadan
wilayah Rom/Byzantine).
Perang Tabuk (juga dikenali sebagai Jaisy al-Usrah atau
Tentera Kesusahan) adalah ekspedisi ketenteraan terakhir yang dipimpin oleh
Nabi Muhammad SAW dalam sejarah Islam.
Peperangan ini berlaku pada musim panas yang terik melampau,
mengalami kemarau, kekurangan air, dan kenderaan (sehingga tentera terpaksa
berkongsi seekor unta secara bergilir-gilir).
Sebenarnya tiada pertempuran fizikal melibatkan tentera. Hal
ini apabila tentera Islam tiba di Tabuk setelah perjalanan mencabar selama 20
hari, pihak tentera Romawi tidak muncul dan berundur kerana gentar melihat
kekuatan serta semangat tentera Islam.
Hasil "kemenangan" itu, pemimpin-pemimpin tempatan
di sekitar Tabuk (seperti Yuhanna bin Ru'bah, ketua Ilya) menemui Nabi Muhammad
SAW untuk memeterai perjanjian damai dan membayar cukai jizyah.
Peristiwa ini mengukuhkan kekuasaan Islam di bahagian utara
Semenanjung Arab dan membuka jalan kepada pembukaan wilayah Syam pada masa akan
kemudian.
