Kuih bakul atau "nian gau" merupakan kuih tradisi masyarikat
Tionghua. Kuih bakul diperbuat daripada tepung beras pulut yang dikisah atau
dimesin. Nama lain kuih bakul ialah kuih keranjang.
Kuih bakul adalah menu wajib setiap kali ketibaan Tahun
Baharu Cina kerana ia dipercayai membawa tuah kerana namanya: "nian
gao". Gou bermaksud kuih dan nian pula bermaksud ‘tinggi’ yang membawa
erti "setahun lagi kehidupan, setingkat lagi kemajuan".
Kuih bakul tradisional menggunakan pembalut daun pisang yang
diletakkan pada tin selinder sebelum dimasukkan adunan tepung beras pulut
dicampur air dan gula. Penggunaan daun pisang menghasilkan aroma bau yang memikat
dan mudah ditanggalkan apabila ingin memakan kuih bakul.
Mengukus adalah proses yang panjang dan perlahan, tetapi demi mahu
mengekalkan rasa tradisional kuih bakul, masa 14 hingga 18 jam dianggap
berbaloi. Ia bagi memastikan adunan masak sekata dan tidak berair.
Kebanyakan proses membuat kuih bakul masih secara tradisional
menggunakan dapur kayu untuk mendapatkan aroma dan bau wangi. Namun, bagi kebanytakan
pengusaha kuih bakul yang menerima banyak tempahan biasanya akan menggunakan
dapur gas yang lebih mudah.
Kuih bakul yang telah masak akan dikeluarkan dari tin
selinder dan hanya dibalut dengan daun pisang yang telah layu. Seterusnya, proses
pengeringan pula mengambil masa kira-kira tujuh hari.
Selain rasa yang sedap, penyediaan kuih bakul secara tradisional dan masa
pengukusan yang lama sehingga masak sempurna, dapat disimpan lama hampir dua
tahun. Ia tidak cepat rosak kerana tidak mudah dihinggap oleh kulat atau kulat
sukar untuk tumbuh.
Biarpun kuih bakul sinonim dengan sambutan Tahun Baharu Cina, namun kini
ia ada dijual sepanjang tahun. Tidak sukar untuk mendapat kuih bakul, terutama
melalui jualan dalam talian. Di manapun anda berada, niat untuk makan kuih bakul
akan tercapai.
Orang Melayu kini banyak terlibat dalam penghasilan kuih
bakul untuk pasaran terbuka yang pastinya mendapat permintaan tinggi kerana
diyakini halal dan proses pembuatan yang menepati syarak.
Untuk rekod, kuih bakul telah diisytiharkan
sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2009 dibawah kategori Objek Warisan Tidak
Ketara.
No comments:
Post a Comment