Mendekati dan memahami situasi kehidupan
remaja merupakan aspek terpenting dalam menyiapkan diri untuk berdakwah di
kalangan remaja. Kehidupan remaja merupakan peralihan di alam kanak-kanak
kepada alam dewasa.
Setiap remaja melalui tempoh tersebut dalam
aspek berbeza. Sebahagian remaja menempuhnya dengan kematangan fikiran hasil
didikan, pengaruh persekitaran dan pegangan hidup yang kukuh. Golongan ini
mudah menyediakan dan mencapai kematangan fikiran dan tindakan lebih awal
berbanding rakan sebaya.
Mereka dapat hidup berdikari dan
melaksanakn tugas dengan baik. Ada remaja mampu memikul sebahagian
tugas ibu bapa. Bahkan ada remaja mengambil alih tugas ketua keluarga setelah
bapa atau kedua-dua ibu bapa meninggal dunia atau menghilangkan diri.
Manakala itu ramai remaja menempuh tempoh
tersebut dengan penuh ranjau. Mereka mengambil masa yang panjang untuk
menyesuaikan diri. Kemampuan emosi dan kekuatan mental dalam mengharungi
pancaroba hidup remaja tidak mantap, sehingga mereka terpesong daripada apa
ditetapkan syariat.
Golongan ini perlu didedakati dan didakwah
untuk kembali ke landasan kehidupan menuju kebaikan, kejayaan dan diredai
Allah. Sebahagian daripada mereka masih belum terlewat atau hanya baru
terdorong melakukan perbuatan sia-sia.
Masalah sosial remaja biasanya menghisap
rokok, menagih dadah, lepak, mencuri, menonton atau membaca bahan berunsur
lucah, merosak harta benda awam dan sebagainya.
Mereka terlibat dalam kancah tersebut
memandangkan tidak ramai orang dewasa untuk memahami dan mengambil berat
mengenai mereka. Bapa, ibu dan orang dewasa lebih supaya mengatakan itu dan
ini, sedangkan banyak perkara orang dewasa sendiri tidak melakukannya.
Umpamanya, bapa marahkan anak merokok,
sedangkan bapa sendiri merokok. Bapa suruh anak remaja yang sudah tamat
bersekolah agar berkerja, tetapi bapa sendiri lebih kerap bersembang di kedai
kopi dan melakukan kerja-kerja kurang berfaedah.
Suasana hidup keluarga yang kurang
kemesraan, krisis rumah tangga, masalah ekonomi dan runtuhnya budi pekerti
mudah mendorong remaja mencari jalan hidup sendiri. Mereka cuba mendapatkan
ketenangan dan kepuasan hidup di luar rumah bersama-sama rakan sebaya.
Asas paling penting dalam usaha membentuk
dan mendakwah remaja melakukan kebaikan ialah contoh dan tauladan. Ibu bapa dan
ahli keluarga perlu menjadi contoh kepada remaja. Perkara baik dilakukan dan
dikongsikan bersama-sama dengan remaja. Manakala perkara buruk dijauhkan
sama sekali.
Dalam masyarakat pula, orang dewasa perlu
lebih mendampingi remaja. Aktiviti kemasyarakatan seperti kerja gotong-royong,
bersukan dan riadah diperbanyakkan. Ia bukan saja untuk remaja, tetapi
melibatkan seluruh ahli masyarakat.
Dengan keadaan tersebut, remaja akan
merasakan diri sendiri sebagai sebahagian daripada komiti masyarakat. Kehidupan
mereka terisi dengan pelbagai aktiviti sehingga terhalang daripada melakukan
perkara tidak baik.
Apabila mereka sudah berada dalam satu
kelompok baik, maka mudahlah untuk mencorakkan mereka ke dalam perkara-perkara
yang lebih serius. Mereka perlu didedahkan kepada kepimpinan, semangat
petrotik, memahami amalan beragama dan peranan bakal ditempuh apabila berumah
tangga.
No comments:
Post a Comment