Monday, 16 October 2023

TUTUP RUANG AKTIVIS LGBT

 
Golongan LGBT boleh dikelaskan kepada dua kategori iaitu aktivis dan ahli biasa. 
 
Aktivis ialah mereka yang bertindak secara terang-terangan dan mempromosikan kelakuan ini di samping memperjuangkan tuntutan LGBT yang mereka mahukan. Adapun ahli biasa adalah mereka yang berada dalam dunia mereka sahaja tanpa ekstrim mempromosi aktiviti songsang mereka.
 
Memberi ruang kepada aktivis LGBT adalah satu tindakan yang tidak tepat malah merugikan Islam. Sedangkan dalam hal ehwal agama Islam, apabila ada golongan yang mempermainkan serta memperlekehkan agama, umat Islam dilarang berada dengan kelompok mereka. 
 
Kelompok LGBT yang bergerak secara organisasi dan membuat promosi murahan di media sosial adalah bercanggah dengan syariat Islam.
 
Pemimpin dan umat Islam mesti bertegas dalam hal ini sebagaimana pendekatan yang diambil oleh Khalifah Umar Abdul Aziz ke atas seorang yang turut serta dalam majlis maksiat yang dihidangi arak tanpa dia melakukan apa-apa pencegahan kemungkaran.
 
Firman Allah SWT: “Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintah-Nya) di dalam Al-Quran, iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek, maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahannam.” (Surah an-Nisa, ayat 140)
 
Kini, LGBT dilihat sebagai pergerakan yang tersusun dan ianya merupakan satu ancaman ke atas masyarakat dan sosial yang mesti dicegah dan dihentikan. Semua pihak mesti bertegas dalam kesepakatan ini bahawa perbuatan mereka adalah dilarang oleh agama.
 
Dengan perundangan yang sedia ada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, tindakan tegas wajib diambil ke atas aktivis LGBT yang terang-terangan mempromosi kelakuan songsang mereka bagi mengelakkan ianya mempengaruhi masyarakat umum.
 
Bagi mereka yang terjebak dengan LGBT tanpa menjadi aktivis dinasihatkan untuk tampil mendapatkan khidmat kaunseling dan nasihat agama dalam menyelesaikan kekeliruan yang menyebabkan mereka mengalami masalah kecelaruan identiti. 
 
Pihak yang berwajib dan para pendakwah juga hendaklah meneruskan kerja-kerja dakwah menyeru golongan ini agar kembali kepada fitrah asal.
 
Tidak wajar sebarang ruang diberikan kepada aktivis LGBT ini dalam semua perkara yang diperjuangkan oleh mereka. 
 
Pihak kerajaan mesti menutup ruang perjuangan mereka dan mengambil tidakan yang tegas bagi mempastikan agenda jahiliah ini tidak menular dan mendapat sambutan pihak yang berkepentingan.

No comments:

Post a Comment