Monday, 29 November 2021

LEMANG DIJUAL SEPANJANG TAHUN

 
Lemang adalah sejenis makanan daripada pulut dan santan yang dimasak di dalam ruas buluh, periuk kera dan beberapa jenis bahan yang boleh dijadikan bekas untuk memasak.

Perkataan lemang adalah berasal dari perkataan ‘lamang’ dari bahasa atau perkataan Minangkabau. Lemang dikatakan berasal dari Minangkabau, Indonesia.

Batang buluh yang dipilih untuk memasak lemang ini perlu dipilih dari segi umur agar tidak terlalu tua dan juga tidak terlalu muda. Tidak semua jenis buluh boleh digunakan untuk memasak lemang. Mereka yang arif sahaja tahu jenis buluh yang boleh digunakan.

Ruas buluh yang sudah dipilih sesuai besar dipotong dan dibersihkan dari segala miang sebelum dilapikkan dengan gulungan daun pisang.  

Beras pulut yang telah dibasuh akan disumbatkan ke dalam ruas ini disusuli dengan santan sehingga cukup ruang sejarak satu atau dua inci ditinggalkan dari mulut buluh.

Batang-batang lemang ini dibakar dari satu jam hingga 4-5 jam bergantung kepada besar api dinyalakan. Batang buluh tersebut hendaklah dibalik-balikkan setiap 15 minit agar seluruh pulut masak sama rata.

Lemang sering dihidangkan secara berlauk bersama rendang atau serunding. Namun ada juga yang memakan lemang dengan cara dicicah dengan manisan seperti gula melaka cair atau nise.

Lemang menjadi hidangan istimewa setiap kali sambutan hari kebesaran, terutamanya semasa sambutan Aidilfitri.

Namun, sekarang ini lemang ada dijual sepanjang tahun. Ada pengusaha lemang yang memasak dan menjual lemang sepanjang tahun, selain ketika sambutan Aidilfitri.

No comments:

Post a Comment