Wednesday 29 March 2023

ISI BELULUK SEDAP DIMAKAN

 
Buah beluluk terkenal di Negeri Sembilan untuk dijadikan pencuci mulut terutama pada bulan Ramadan. Pokok beluluk juga dikenali buah kabung, enau, aren dan kantau adalah sejenis pokok palma.
 
Walaupun buahnya menghasilkan cecair yang gatal apabila terkena pada kulit, namun apabila ia sudah diproses, isinya amat sesuai untuk dicampur bahan penambah bersama air minuman seperti ais batu campur (ABC), air sirap, cendol, locong atau ditambah bersama air kelapa dan sangat enak untuk dinikmati ketika berbuka puasa.
 
Pembuatan isi buah beluluk ini amat rumit kerana ia perlu melalui beberapa proses sebelum buah beluluk dihidangkan sebagai bahan tambahan untuk dicampurkan dalam minuman.
 
Buah pokok beluluk dihasilkan dari pokok matang dengan buahnya akan kelihatan berjuntai-juntai pada tandan sepanjang 1.5 meter (5 kaki). Setiap tandan buah beluluk mempunyai purata sebanyak 10 tangkai. Setiap tangkai terdapat lebih kurang 50 biji buah kabung. 
 
Buah beluluk mempunyai kulit berwarna hijau yang tidak boleh dimakan begitu sahaja kerana kulitnya mengeluarkan getah yang sangat gatal. 
 
Kerja memetik buah beluluk agak sukar kerana memerlukan kepakaran tertentu. Selain perlu pandai memanjat, pemetiknya juga perlu lasak kerana tandan dan tangkai buah mempunyai debu dan mengeluarkan getah yang menyebabkan badan menjadi gatal. 
 
Proses mengeluarkan isi beluluk bermula dengan merebus buahnya dalam air yang mendidih. Buah itu kemudian dipotong pada tampuknya bagi membolehkan isinya keluar dengan mudah menggunakan pengepit kayu. 
 
Setiap biji buah beluluk mempunyai tiga ulas isi yang berwarna putih jernih tetapi isi buah itu tidak boleh dimakan selagi ia tidak direndam dalam air bersih selama tiga hari. 
 
Selain dengan cara merebus, satu lagi kaedah yang boleh digunakan untuk mengeluarkan isi buah beluluk ialah dengan membakar tandan buah itu dalam api yang marak. 
 
Isi buah beluluk yang siap diproses amat enak dimakan sebagai kudapan iaitu dengan mencampuri air sirap, puding atau ais kacang. 
 
Selain itu, isi buah beluluk segar juga boleh dimakan begitu saja kerana lembut dan manis secara semula jadi. 
 
Isi buah beluluk ini yang mempunyai pelbagai warna, rasa manis, kenyal dan seperti agar-agar amat enak dimakan dan dipercayai dapat menurunkan suhu badan. 
 
Kandungan gizi buah beluluk mengandungi kalori 164mg, sodium 19.58 mg, potassium 170.88 mg, karbohidrat 42.61 g, protein 0.64 g, Vit A 3.56 IU, vit C 0.89mg, calcium 78.32 mg, iron 0.52mg. 
 
Buah ini mengandungi serat yang tinggi yang boleh membantu proses penghadaman. Ia juga mengndungi karbohidrat yang boleh memberikan rasa kenyang dan memberikan tenaga. 
 
Buah beluluk mengandungi kalsium yang tinggi yang sangat baik untuk menguatkan tulang terutama bagi mereka yang alahan kepada susu. 
 
Selain daripada menikmati buahnya yang enak, buah beluluk dikatakan berkesan untuk: 
- Untuk mengubati demam 
- Mengubati sakit perut. 
- Mengubati sembelit.  
- Mengurangkan noda-noda hitam di wajah 
- Mencegah osteoporosis.



No comments:

Post a Comment