Adakah pemilik tanah di sebelah pagar
yang mana buah cempedak itu berada berhak terhadap buah di luar pagar itu?
Persoalan buah atau hasil pokok yang dahan atau
bahagian batang sudah memasuki kawasan tanah orang lain jadi polimik atau
dibahaskan kedudukan siapa lebih berhak kepada buah atau hasilnya.
Ada pendapat
mengatakan ia masih milik pemilik pokok yang ditanam di bahagian tanahnya.
Manakala, pendapat lain mengatakan buah itu sudah menjadi hak pemilik tanah
yang bahagian dahan itu berada.
Pandapat ulama mengatakan, buah itu masih kekal hak
pemilik pokok itu biarpun dahan atau bahagian sudah memasuki kawasan tanah
orang lain. Ini berdasarkan kepada sebuah hadis.
"Dari
Samurah bin Jundab. Beliau memiliki sederet pohon kurma yang tumbuh di kebun
milik salah seorang Ansar. Di tempat tersebut, orang Ansar tadi tinggal bersama
keluarganya. Samurah sering memeriksa pohon-pohon kurmanya, termasuk pohon
kurma yang tumbuh di tanah si Ansar.
"Tentu saja, keberadaan Samurah mengganggu
dan menyebabkan orang Ansar tersebut berasa terganggu. Orang Ansar menawarkan
kepada Samurah agar menjual pohon kurma tersebut kepadanya. Samurah menolak. Si
Ansar meminta Samurah memindahkan pohon kurmanya. Samurah juga menolak tawaran
tersebut.
"Akhirnya, dia melaporkan permasalahan ini kepada Nabi. Nabi meminta
Samurah untuk menjual pohon kurmanya. Apabila cadangan itu ditolak, Nabi
meminta Samurah untuk memindahkan pohon kurmanya.
"Ketika permintaan kedua ini
ditolak, Nabi mengatakan kepada Samurah, “Hadiahkan pohon kurma tersebut
kepadanya, dan untukmu ada ganjaran demikian dan demikian.”
"Nabi sebutkan hal
yang disukai oleh Samurah. Samurah tetap menolak, maka Nabi mengatakan, “Engkau
ini memang pengganggu!”
"Nabi lantas berkata kepada Si Ansar, “Pergilah!
Silakan tebang saja pohon kurmanya!” (Hadis riwayat Abu Daud, no. 3636; hadis
ini dinilai lemah oleh Al-Albani)
Jelas sekali, pokok kurma itu tumbuh di tanah milik
orang lain, namun masih dianggap sebagai milik penanamnya. Tidak dijelaskan
sama ada semasa menanam itu tanah itu milik siapa.
Dapat difahami bahawa pokok
tamar itu memang berada di tanah milik orang lain. Namun, ia masih dianggap hak
penanamnya.
Jadi, apa lagi jika yang berada di tanah milik orang lain itu hanya
dahan atau rantingnya, maka hak hasil daripada pokok itu adalah kepunyaan
pemilik pokok itu.
Persoalan timbul, kalau begitu kita boleh menanam
pokok di kawasan berhampiran sempadan tanah atau pagar kita agar bahan dan
rantingnya berada di bahagian tanah orang lain yang memberi keuntungan ‘kawasan’
untuk kita.
Ingatlah, dalam mendepani permasalahan itu, Islam
memberi panduan yang jelas dalam membentuk hubungan kejiranan.
Sabda Rasulullah
SAW bermaksud: “Barang siapa yang
benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat, janganlah mengganggu
tetangganya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Kalau sengaja melakukan perbuatan mengganggu
tetangga, maka itu tanda sikap buruk dan tahap keimanan yang tidak jitu.
Untuk menyelesaikan atau memberi keadilan kepada
jiran tetangga, Islam menggariskan peraturan dalam soal dahan atau ranting
pokok masuk ke kawasan tanah orang lain.
Jika jiran yang kawasan tanahnya dimasuki dahan
pokok orang lain dan dia berasa terganggu atau mengalami kesan buruk akibat
keadaan itu, maka dia boleh memberitahu kepada pemilik pokok itu mengenai
perkara itu.
Pemilik pokok itu sepatutnya memotong dahan itu
atau melakukan sesuatu yang mengubah agar dahan pokok tidak lagi mengganggu
jiranya.
Jika pemilik pokok tidak mahu memotongnya atau melakukan sesuatu berkaitan
aduan jirannya itu, maka jirannya boleh memotong sendiri dahan pokok itu.
Pemilik pokok tidak boleh menuntut ganti rugi atau mempersalahkan jiran yang
memotong itu.
Syekh
Abdurrahman as Sadi mengatakan, “Jika dahan atau ranting pohon menjalar ke
tanah atau udara orang lain, dan orang tersebut tidak merelakan keberadaan
dahan tersebut, maka pemilik pohon diperintahkan untuk memangkas dahan
tersebut.
"Jika dia tidak mahu maka pemilik tanah menekuk dahan tersebut tanpa
memotongnya, jika memungkinkan. Jika tidak boleh disingkirkan kecuali dengan
dipotong maka pemilik tanah boleh memotongnya, dan dia tidak memiliki kewajiban
untuk memberikan ganti rugi terkaitan pemotongan dahan tersebut."
Pemilik pokok perlu menilai erti kejiranan. Apakah
hanya ingin menikmati sedikit hasil atau manfaat dari pokok itu, sanggup
bersengketa dengan jiran. Bertimbang rasa dengan jiran. Fikirkan apakah
perasaan kita jika dahan pokok jiran pula yang masuk ke bahagian tanah kita?
Dalam soal pokok buah-buahan, elok jika halalkan
sahaja buah yang berada di luar pagar kepada jiran itu. Setidak-tidaknya dapat
dianggap sebagai ‘ganti rugi’ kepada masalah yang terpaksa dialami oleh jiran
seperti masalah sampah daun yang gugur.
Gambar atas: Buah nangka
No comments:
Post a Comment