Gunung Reng adalah bukit batu kapur yang terletak di
Kampung Gunung, Batu Melintang, Jeli, Kelantan. Gunung Reng banyak kisah legenda
berkaitan asal terbentuknya, juga dikaitkan dengan Puteri Saadong.
Puteri Saadong memerintah Kelantan antara
tahun 1667–1671, merupakan anak kepada Raja Loyor bin Raja Sakti yang
memerintah di kawasan utara Kelantan berpusat di Kota Jembal.
Puteri Saadong diambil menjadi anak angkat
kepada Cik Siti Wan Kembang, raja yang memerintah di kawasan selatan Kelantan.
Puteri Saadong dikahwinkan dengan sepupunya,
Raja Abdullah. Dengan persetujuan Cik Siti Wan Kembang dan Raja Loyor, Puteri
Saadong diangkat menjadi raja dan memerintah Kelantan secara keseluruhan
berpusat di Kota Mahligai.
Kecantikan Puteri Saadong mendapat perhatian
Raja Siam yang kemudian berhasrat untuk diperisterikan. Namun, ia tentunya
ditolak oleh Puteri Saadong sehingga menyebabkan serangan pihak Siam ke atas
Kota Mahligai.
Pada serangan pertama, Kota Mahligai dapat
dipertahankan walaupun banyak rakyat yang terkorban. Raja Siam tidak berputus
asa dan berusaha untuk melakukan serangan kedua. Disebabkan tidak mahu melibat
lebih banyak rakyat yang meninggal, Puteri Saadong menyerah diri untuk dibawak
ke Siam.
Apabila sampai di Siam, Puteri Saadong
mampu mempertahankan maruahnya sehingga tidak mampu diperisterikan oleh Raja
Siam yang mana berlaku beberapa kejadian aneh terhadap Raja Siam.
Setelah beberapa lama berada di Siam,
Puteri Saadong yang gagal diperisterikan Raja Siam akhirnya dihantar pulang. Setibanya
di Kota Mahligai, Puteri Saadong mendapati suaminya telah berkahwin lain.
Pertengkaran suami isteri berlaku sehingga terjadi tragedi Raja Abdullah mangkat kerana
tertusuk cucuk sanggul.
Terdapat
juga pendapat yang mengatakan bahawa bahawa Puteri Saadong telah difitnah
membunuh Raja Abdullah. Raja Abdullah pada hakikatnya sangat gembira dengan
kepulangan Puteri Saadong. Raja Abdullah telah merancang untuk menabalkan
semula Puteri Saadong sebagai Sultan Kelantan.
Perkara
ini telah menyebabkan isteri kedua Raja Abdullah tidak senang hati dan tidak
tenteram kerana akan menurunkan martabat beliau juga.
Semasa dalam perbincangan
antara Raja Abdullah dan Puteri Saadong, tiba-tiba isteri kedua Raja Abdullah
meluru masuk dan menikam Raja Abdullah. Isteri kedua Raja Abdullah terus keluar
dari tempat perbincangan dan menjerit-jerit mengatakan bahawa Raja Abdullah
telah dibunuh oleh Puteri Saadong.
Selapas tragedi itu, Puteri Saadong
dikatakan berpindah bersemayam di Bukit Marak, Bachok. Tidak lama selepas itu
berpindah pula ke Bukit Jawa, Selising, Pasir Puteh.
Tidak pasti apa sebabnya,
Puteri Saadong kemudian memilih untuk bersemayam di Gunung Reng,di Batu Melintang,
Jeli.
Tidak lama di Gunung Reng, Puteri Saadong
kemudian berpindah pula bersemayam di Gunung Ayam, Dabong, Kuala Krai. Ada juga pendapat mengatakan Gunung Ayam itu terletak di Kuala Betis, Gua Musang.
Selapas itu, tidak ada lagi jejak Puteri
Saadong dikisahkah di dalam leganda Puteri Saadong.
No comments:
Post a Comment