Monday, 14 March 2022

KEBAIKAN KHASIAT TIMUN BATANG

 
Timun atau dalam dialek Kelantan dipanggil timun batang adalah antara sayur yang paling kerap menjadi pilihan ulam di dalam hidangan masyarakat Malaysia.

Terdapat banyak khasiat timun dan kebaikan yang tersendiri, yang baik untuk badan kita.

Ia sangat mudah didapati dan disediakan. Hanya perlu potong untuk dijadikan ulam segera.

Sesetengah orang mungkin menambah cuka untuk digaulkan bersama lobak merah, bawang dan cili sebagai acar.

Apa pun cara hidangan yang anda suka, timun memang sesuai dimakan selalu untuk mendapatkan kebaikannya yang banyak.

1. Sumber air yang baik
Timun merupakan sejenis sayur yang mempunyai banyak kebaikan dan khasiat yang tersendiri. Hampir 96 peratus daripada kandungan timun adalah air.

Kepentingan air untuk badan sudah lama dimaklumi. Tanpa air yang mencukupi, badan tidak akan dapat berfungsi dengan baik. Suhu dan keasidan badan akan terjejas menyebabkan banyak sistem terganggu.

Selain minum air, anda boleh ambil sayur ini untuk kekal terhidrat.

2. Khasiat timun kaya dengan nutrisi
Selain kandungan air yang tinggi, ia juga kaya dengan pelbagai jenis nutrisi. Protein, serat, vitamin C, vitamin K, magnesium, potassium dan manganese. Timun batang rendah kalori. Jadi, ia tidak menyumbang kepada penambahan berat badan.

Untuk mendapatkan nutrisi sepenuhnya, elakkan daripada mengupas kulitnya kerana ini akan mengurangkan kandungan serat dan beberapa vitamin yang lain.

3. Mengandungi antioksidan antara kebaikan timun
Antioksidan adalah sejenis molekul yang menghalang proses oksidasi yang menghasilkan radikal bebas.

Jika banyak radikal bebas terkumpul di dalam badan, risiko untuk mendapat penyakit kronik akan meningkat. Contohnya, kanser, sakit jantung dan paru-paru.

4. Memberikan kesegaran kepada kulit
Anda tentu biasa melihat orang meletakkan timun di atas mata. Kaedah ini membantu memberikan kulit nutrisi serta membuatkannya lebih segar.

Mineral di dalamnya menyumbang kepada khasiat timun ini. Anda juga boleh menggunakan krim berasaskan timun untuk mendapatkan kulit yang sihat.

5. Mengurangkan berat badan
Bagi yang berniat ingin menurunkan berat badan, timun wajib dimasukkan ke dalam pelan pemakanan anda.

Dengan kalori yang rendah serta kandungan air yang tinggi, sayur ini mampu membuatkan perut kenyang tanpa menambah pengambilan kalori anda.

6. Pergerakan usus anda lebih baik
Pertama, air di dalam timun membantu membuatkan badan kekal terhidrat. Ini adalah sangat penting kerana dehidrasi adalah salah satu faktor menyebabkan sembelit dan membuatkan najis menjadi keras.

Kedua, kandungan serat yang tinggi memudahkan lagi pergerakan usus dan pembuangan najis.

No comments:

Post a Comment