Thursday, 3 March 2022

Prinsipal 1MDB belum dibayar walaupun satu sen

 
Dalam dewan semalam, saya kata satu sen prinsipal hutang 1MDB sebanyak RM32b belum pernah dibayar.

Hari ini Menteri Kewangan jawab memang benar satu sen prinsipal hutang itu belum dibayar sebab ianya hanya akan matang lambat lagi.

Lalu dia kata kerajaan sudah membayar faedah sebanyak RM6.5 bilion sudah dibayar sejak tahun 2009 apabila bon pertama 1MDB diterbitkan.

Bertahun-tahun lamanya kerajaan PH dan PN kata kewangan negara tertekan sebab perlu bayar hutang 1MDB sebanyak RM32b tapi rupanya satu sen daripada RM32b itu tak pernah dibayar.

Yang dibayar adalah faedah.

Persoalannya ialah kenapa kerajaan PH dan PN banyak menjual aset dan menjarah rizab Petronas, tabung KWAP, tabung KWAN dan Khazanah Nasional serta menambah hutang negara sebanyak RM320b dengan alasan hutang 1MDB sebanyak RM32b tetapi tidak bayar satu sen prinsipal hutang?

Jika awal-awal bayar maka banyak faedah telah dijimatkan.

Wang rizab-rizab lain diangkat dengan alasan hutang 1MDB tapi tak mahu jelaskan hutang 1MDB?

Okay ini caranya membayar secara penuh hutang 1MDB, faedah 1MDB dan juga akan mendatangkan keuntungan.

Adalah tidak betul untuk mencanangkan bahawa rakyat perlu membayar atau menanggung hutang 1MDB. Misalnya, bayaran sebanyak RM16.4 bilion yang diterima dari Goldman Sachs bukanlah dari wang rakyat. Itu wang Goldman Sachs yang boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

Begitu juga dana-dana lain yang telah diterima dari:
- DOJ RM3 bilion,
- Ambank RM2.83 bilion,
- KPMG RM340 juta,
- Deloittes RM324 juta.

Kesemua ini yang berjumlah hampir RM23 bilion, bukanlah wang rakyat. Sepatutnya wang ini boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

Saya ingin membuat saranan kepada kerajaan hari ini. Pada tahun 2017 Kerajaan BN telah menandatangani satu perjanjian penyelesaian dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) milik kerajaan Abu Dhabi. Menerusi perjanjian itu, IPIC berjanji akan mengembalikan sebanyak USD6.5 bilion kepada 1MDB sebelum 31 Disember 2020.

Setiap satu sen dana 1MDB yang disyaki hilang atau diselewengkan adalah selepas ianya dijamin atau dipindah ke syarikat IPIC atau pegawai-pegawai syarikat tersebut. Dan juga IPIC yang memberi jaminan bagi pinjaman bon USD3.5 bilion kepada 1MDB. Sebab itu mereka menandatangani penjanjian untuk mengembalikan dana ini.

Persoalannya, kenapa kerajaan PH membatalkan perjanjian penyelesaian ini selepas PRU14? Sedangkan, sekiranya diteruskan, 1MDB akan menerima semula wang yang didakwa hilang itu.

Bon USD3.5 bilion akan matang pada tahun ini (2022) dan perlu dibayar balik. Kerajaan sudah memperuntukkan sekitar RM15 bilion daripada dana sebanyak RM23 bilion yang telah dibayar oleh Goldman Sachs, Ambank dan sebagainya seperti yang saya sebut tadi, bagi membayar balik bon ini.

Sekiranya kerajaan tidak mahu meneruskan perjanjian penyelesaian dengan IPIC dan meminta kerajaan Abu Dhabi membayar balik dana sehingga USD6.5 bilion, Kerajaan Malaysia ada pilihan bagi 1MDB tidak bayar balik bon USD3.5 bilion tahun ini. Oleh itu, IPIC perlu membuat pembayaran tersebut disebabkan mereka yang menjamin. Jadi kerajaan boleh gunakan RM15 bilion untuk tujuan lain seperti bantuan rakyat atau projek pemulihan negara.

RM23b yang telah diterima setakat ini + penjimatan RM15b = RM38b

RM38b ini sudah cukup untuk jelaskan segala prinsipal dan faedah 1MDB.

Itupun belum termasuk aset-aset 1MDB. Penjimatan daripada penyelesaian perjanjian berat sebelah Penjana Elektrik Bebas (IPP) peninggalan zaman Perdana Menteri ke-4 yang diselesaikan dengan bantuan 1MDB dengan mengambil alih IPP. Ini telah menjimatkan sebanyak RM50 bilion. Penjimatan inilah antara sebab rizab tunai Petronas naik daripada RM30 bilion kepada RM176 bilion pada 2018, sebelum dijarah licin oleh Kerajaan PH dan PN.

Bandar Malaysia bernilai RM140 bilion yang dinilai sebagai aset terbaik Malaysia. YB Bagan semasa menjadi Menteri Kewangan pernah menyifatkan projek TRX sebagai antara aset terbaik negara dan YB Langkawi semasa dia melancarkan semula Bandar Malaysia menyifatkannya sebagai projek paling strategik.

Saya pun pelik, sebelum itu heboh kata projek-projek ini jual negara. Lepas itu, tiba-tiba menjadi aset paling baik dan paling strategik pula.

Perlu ingat bahawa keseluruhan hutang 1MDB hanya matang pada tahun 2039.

Ini bermakna pembangunan jangka panjang projek Bandar Malaysia bernilai RM140b dan projek TRX bernilai RM40b ini bukan sahaja boleh membayar balik segala hutang 1MDB dengan faedahnya tetapi akan juga menjana keuntungan yang lumayan.

Tambahan lagi, pembinaan dan menaik taraf lapan pangkalan anggota pertahanan yang dibiayai oleh 1MDB termasuk Pangkalan Udara Sendayan yang merupakan pengkalan udara terbesar, tidak pernah saya dengar PH atau PN pernah sebut.

Sedangkan inilah aset-aset yang boleh menambah pendapatan kerajaan dan rizab negara. Jadi, macam mana boleh timbulnya tohmahan bahawa rakyat yang akan menanggung hutang 1MDB?

Najib Razak
FB 03-03-2022

No comments:

Post a Comment