Monday 23 October 2023

BUAH JENTIK RASA MASAM MANIS

 
Buah jentik adalah sejenis buah nadir semakin pupus. Buah jentik juga dikenali buah jentik-jentik, sama sebutan untuk larva nyamuk. Ada juga orang panggil buah jetik. Seperti pokok natif lain, pokok jentik tidak ditanam, sebaliknya tumbuh liar di dalam hutan. Pokok jentik dikategori pokok bermusim.
 
Buah jentik seakan-akan buah rambai tetapi saiznya lebih kecil. Isi buah jentik merah menyala. Buah jentik yang telah masak pada tangkai ini akan pecah apabila 'dijentik'. Kulitnya akan tertanggal dan isi akan kekal di tangkai.
 
Perbuatan menjentik untuk mendapatkan isinya, maka buah itu dipanggil buah jentik. Tidak diketahui kalau ada nama lain untuk buah jentik.
 
Pokok jentik-jentik tumbuh menegak dengan batang berkayu. Mudah cerita pokok jentik sama seperti pokok rambai. Bunganya adalah sangat kecil dengan rumpun kecil yang banyak, padat pada tangkai jambak yang berjuntai sepanjang 20 - 30 cm dari dahan tua. 
Buah jentik-jentik yang muda berwarna hijau seakan-akan buah rambai yang bergantung-gantung pada tangkai. Ia akan bertukar kepada warna kekuningan dan akhir sekali akan bertukar kemerahan apabila masak.
 
Terdapat tiga biji dalam satu buah. Warna isi adalah merah dengan rasanya masam-masam manis. Namun, rasa buah berkenaan yang masam-masam manis akan bertukar masam seandainya kulit buah merekah.
 
Kerana keunikan sifatnya yang perlu dijentik, buah jentik kembali mendapat sambutan. Harga satu kilogram boleh mencecah sehingga RM20. Banyak orang membeli kerana ingin mencuba menjentik dan merasai rasa yang unik.

No comments:

Post a Comment