Ucapan
penuh Tun Hussin Pada Tahun 1977
“Terlebih dahulu saya dengan sukacitanya
mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan setinggi-tingginya penghargaan
kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian yang telah bersusah payah datang dari
jauh dan dekat dan secara tergesa-gesa menghadiri perjumpaan ini. Perjumpaan
ini amat penting bagi menentukan nasib orang Melayu khasnya dan seluruh rakyat
Malaysia amnya.
Perjumpaan kita hari ini diselubungi
oleh suasana sedih dan pilu. Sedih kerana kehilangan seorang menteri yang telah
banyak berjasa kepada UMNO dan negara. Kemalangan kapal terbang MAS di Tanjung
Kupang, Johor yang telah mengorbankan 100 nyawa, sungguh mengejut dan
mengharukan kita semua. Oleh itu sempena dengan perjumpaan kita yang bersejarah
ini, marilah kita beramai-ramai mendoakan semoga Allah s.w.t mencucuri rahmatnya
ke atas roh Allahyarham Datuk Seri Ali Ahmad serta lain-lain roh orang yang
telah terkorban dalam kemalangan itu.
Sebelum saya menyebut perkara penting
dalam perjumpaan ini, marilah kita menoleh sejenak ke belakang mengkaji semula
dengan secara ringkas perkembangan yang telah berlaku sehinggalah keperjumpaan
yang diadakan pada petang ini.
Saya tidaklah berhajat hendak
menerangkan kemajuan dan kejayaan UMNO yang telah lalu atau kejayaan-kejayaan
yang telah dicapai oleh Perikatan sejak ia ditubuhkan. Kesemuanya ini ada dalam
pengetahuan tiap-tiap ahli UMNO. Demikianlah juga dengan hasrat dan tujuan
menubuhkan Barisan Nasional yang telah menyatupadukan sehingga ke hari ini
sebelas buah parti politik yang yang sebilangannya telah menentang UMNO pada
masa sebelumnya.
Sesungguhnya UMNO telah membuat banyak
pengorbanan politik bagi memenuhi hasrat dan matlamat Barisan Nasional.
Walaupun perjalanan kita masih jauh dan penuh dengan liku-liku tetapi Barisan
Nasional telah dapat menumpukan sepenuh tenaga memupuk dan menyuburkan semangat
kerjasama dan persefahaman dalam melaksanakan rancangan pembangunan, membawa
kemakmuran dan kebahagiaan kepada rakyat berbilang kaum.
Barisan Nasional berazam akan terus
dengan penuh keberanian dan dengan usaha yang lebih bersungguh-sungguh mewujud
dan mengeratkan perpaduan. Dengan sokongan rakyat saya percaya Barisan Nasional
akan mencapai kejayaan.
Barisan Nasional merupakan satu federasi
yang longgar kerana tiap-tiap parti yang bergabung ingin mengekalkan identiti
partinya masing-masing. Tetapi parti-parti komponen adalah terikat dengan
semangat ingin bekerjasama, saling mengerti sesama sendiri dan yang paling
penting sekali ialah mematuhi disiplin parti.
Semangat kerjasama dan persefahaman
adalah penting bagi menyelesaikan masalah negara. Ia lebih berharga dengan
membuktikan dalam amalan daripada semata-mata mengadakan perakuan-perakuan
sahaja tetapi tidak dipraktikkan.
Inilah caranya Barisan Nasional bergerak
selama ini dari semenjak ia ditubuhkan. Hasil kejayaan penubuhan Barisan
Nasional telah dapat dilihat dengan nyata apabila parti ini mencapai kemenangan
yang paling gemilang dalam pilihan raya tahun 1974. UMNO yang paling
mempelopori gabungan ini serta memastikan ia dapat terus wujud kukuh dan teguh
supaya pembangunan negara dapat diselenggarakan dengan lebih licin, sempurna
dan jayanya.
Parti-parti politik yang bercorak
gabungan seperti Barisan Nasional ini sudah pasti sekali-sekala menghadapi
masalah. Pertentangan pendapat dan perbezaan cara mendekati dan menyelesaikan
sesuatu masalah merupakan satu perkara biasa yang memang diramalkan dari
mula-mula lagi.
Peristiwa perpecahan parti komponen
Barisan Nasional di Sabah merupakan kejadian pertama yang telah berlaku.
Walaupun perkara ini belum dapat diselesaikan dengan sepenuhnya tetapi Insya
Allah penyelesaian terakhir akan dapat dibuat dengan secara beransur-ansur.
Pergolakan yang sedang kita hadapi di Kelantan sekarang merupakan peristiwa
kedua. Perkara ini besar, yang berkehendakkan pengkajian dan pertimbangan yang
serius kerana ia melibatkan soal pokok.
Sebagaimana kita maklum, Datuk Mohamad
Nasir telah dipilih menjadi Menteri Besar hasil daripada persefahaman dan
semangat tolak ansur di antara Allahyarham Tun Razak sebagai Perdana Menteri
dan Ketua Barisan Nasional di masa itu dengan pucuk pimpinan PAS yang mempunyai
suara majoriti dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan. Semangat tolak ansur
seperti ini patut sentiasa wujud, digalak dan dikekalkan. Ia merupakan faktor
utama bagi mengekal dan menjamin perpaduan dalam Barisan Nasional.
UMNO tidak berhajat dan tidak mahu
mencampuri langkah-langkah pimpinan PAS melucutkan jawatan Datuk Mohamad Nasir
sebagai Menteri Besar Kelantan semata-mata kerana menghormati kehendak-kehendak
pucuk pimpinan PAS mendakwa perkara itu merupakan soal rumah tangga PAS. UMNO
menganggap perkara itu sebagai masalah Barisan Nasional. Langkah itu juga telah
diambil oleh pucuk pimpinan dengan tidak ada sedikit pun perundingan dengan
pucuk pimpinan Barisan Nasional terlebih dahulu.
UMNO tidak dapat menyokong langkah yang
diambil oleh pucuk pimpinan PAS dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan
pada 15 Oktober itu bukan kerana UMNO tidak dibawa berunding, tetapi kerana
UMNO tidak tahu sebab atau diberitahu sebab-sebab mengapa Menteri Besar Datuk Haji
Mohamad Nasir dilucutkan daripada jawatannya. Oleh itu sikap berkecuali yang
telah diambil oleh UMNO itu adalah satu tindakan yang munasabah. Tambahan pula
UMNO masih lagi berharap hendak mengekalkan perpaduan dengan PAS.
Malangnya peristiwa melucutkan jawatan
Menteri Besar itu dengan tidak disangka-sangka telah mencetuskan kejadian yang
buruk. Peristiwa yang telah mengakibatkan kecederaan sebilangan orang yang
tidak berdosa, kemusnahan harta benda dan boleh mengancam nyawa dan keselamatan
rakyat telah juga mengancam keselamatan negeri Kelantan. Jika keadaan ini tidak
dikawal segera ia akan melibatkan keselamatan negara seluruhnya.
Sebagai Perdana Menteri saya
bertanggungjawab di atas keselamatan negara dan kebajikan rakyat, saya terpaksa
mengambil langkah yang tegas. Keadaan darurat telah diisytiharkan bagi negeri
Kelantan. Satu undang-undang dirangka yang meletakkan kerajaan negeri Kelantan
di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan. Langkah-langkah ini diambil pada
masa menteri-menteri dari Parti PAS masih lagi bersama-sama kita dalam jemaah
Menteri. Rang Undang-Undang ini kemudiannya telah diluluskan oleh Parlimen.
Kerajaan Darurat terpaksa ditubuhkan di
Kelantan dengan tidak mengira siapakah yang menjadi parti pemerintahnya. Sama
ada ia dari parti lawan ataupun parti kawan tidaklah penting kerana yang
pentingnya ialah keselamatan dan kebajikan rakyat Kelantan sendiri. Saya
memanglah sentiasa meletakkan kepentingan keselamatan di atas segala-galanya.
Memang benar demokrasi telah mati di
Kelantan. Tetapi rakyat Kelantan telah dapat terus hidup dengan penuh keyakinan
di atas keselamatan dan masa depan mereka. Demokrasi di Kelantan tetap akan
dipulihkan sebaik-baik sahaja keadaan mengizinkan.
Bukti nyata kita semua telah dapat nikmati
sekarang dimana pemerintahan NOC atau Mageran tahun 1969 telah dimansuhkan dan
kita telah kembali kepada pemerintahan demokrasi. Tempoh dan lama masa
berjalannya kerajaan darurat di Kelantan itu hanya dikehendaki sekadar yang
wajib sahaja.
Lebih pendek adalah lebih baik. Kerajaan
Pusat berikrar akan memulihkan kembali pemerintahan demokrasi seberapa segera
yang boleh. Sebagaimana kita semua sedia maklum bahawa parti PAS yang mempunyai
anggota di Dewan Undangan yang lebih ramai akan tetap memegang teraju
pemerintahan negeri itu semula dan bukanlah UMNO.
Malang sekali tujuan baik Kerajaan Pusat
dan rang Undang-undang yang telah mendapat persetujuan daripada Parlimen itu
telah sengaja disalah faham dan disalahtafsirkan oleh pucuk pimpinan PAS. Semua
wakil rakyat PAS, telah menyokong rang undang-undang penubuhan kerajaan Darurat
di Kelantan itu.
Biarlah saya bersalah dalam tindakan
saya mengadakan undang-undang itu. Tetapi saya tidak sanggup memikul dosa yang
lebih besar dengan membiarkan berlakunya pertumpahan darah, pengorbanan nyawa,
kecederaan dan kemusnahan harta benda. Sebagai Perdana Menteri saya tidak boleh
memandang ringan perkara ini. Saya berkewajipan penuh melindungi nyawa rakyat.
Tindakan saya ini telah disambut baik
dan disokong oleh sebahagian besar penduduk dan rakyat Kelantan sendiri. Saya
tidak faham kenapa pucuk pimpinan PAS tidak mahu menyokongnya. Saya tahu tidak
semua ahli PAS bersetuju dengan tindak tanduk pucuk pimpinannya. Sebenarnya
UMNO juga memerlukan kerjasama PAS dan tidak sekali-kali meragukan penyertaan
PAS tetapi yang kita sangsikan ialah sikap dan pendirian pucuk pimpinannya.
Perbuatan pucuk pimpinan PAS menentang
arahan parti anggota Barisan Nasional sama ada di dalam atau pun diluar dewan
ini dimasa akan datang. Jika semangat kerjasama dan saling mengerti ini luntur
dan disiplin parti diketepikan, akibatnya Barisan Nasional akan hancur. Kita
semua tahu bahawa disiplin merupakan rahsia perpaduan dan kekuatan Barisan
Nasional selama ini.
Disiplin adalah paling mustahak dalam
penghidupan manusia dan hendaklah diutamakan. Mengenakan disiplin di atas diri
sendiri pun merupakan perkara penting, apatah lagi masyarakat atau pertubuhan
seperti parti-parti politik.
Satu daripada sebab-sebab kejayaan UMNO
selama selama ini ialah kerana ahli-ahlinya mematuhi disiplin parti serta
menghormati dan menjunjung tinggi peraturan yang ditetapkan. Parti-parti yang
ahlinya tidak patuh kepada disiplin akan membawa kehancuran kepada parti itu
sendiri.
Soal mengenai siapa yang bersalah
sehingga mengakibatkan tercetusnya kejadian buruk di Kelantan itu tidaklah
berfaedah dibangkitkan. Tetapi perkara yang paling penting dan yang patut
diutamakan ialah melindungi nyawa rakyat terlebih dahulu. Sebagai Perdana
Menteri, saya mengetahui dengan sedalam-dalamnya masalah keselamatan dalam
negeri. Saya mesti bertindak sewajarnya mengikut keadaan.
Saya telah pun menerangkan bahawa saya
tidak menyebelahi mana-mana pihak yang terlibat dalam peristiwa Kelantan itu.
Saya jalankan segala tindakan yang perlu bagi mengawal dan mententeramkan
keadaan di atas sifat saya sebagai Perdana Menteri.
Yang bertanggungjawab di atas
kepentingan, keselamatan dan kebajikan rakyat, bukan sahaja di Kelantan bahkan
di seluruh tanah air kita. Inilah amanah yang telah bertanggungjawab oleh
rakyat kepada saya. Saya tidak faham mengapa pucuk pimpinan PAS tidak tidak
memahami hakikat ini. Soal keselamatan adalah satu perkara yang tidak boleh
dijadikan tawar menawar.
Di bawah kuasa-kuasa darurat, Pengarah
Kerajaan negeri Kelantan adalah bertanggungjawab kepada saya sebagai Perdana
Menteri. Saya pula bertanggungjawab kepada Jamaah Menteri di mana
menteri-menteri dari PAS menganggotainya.
Saya akan memberi penjelasan kepada
Jemaah Menteri dimana menteri-menteri dari PAS menganggotainya. Saya akan
memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri dari masa ke semasa mengenai
perkembangan dan kemajuan di negeri Kelantan masa itu menteri-menteri dari PAS
boleh membangkitkan sebarang kemusykilan mengenainya. Sebaliknya mereka telah
mengambil tindakan meletakkan jawatan beramai-ramai dari menyertai kerajaan.
Dalam masa kita sedang mencari-cari
jalan keluar yang sebaik-baiknya bagi mengatasi keadaan buruk yang tercetus di
Kelantan itu, tiba-tiba pucuk pimpinan PAS menimbulkan lagi berbagai masalah
lain dengan mengemukakan undi tidak percaya kepada beberapa orang Menteri Besar
yang terdiri daripada ahli-ahli UMNO.
Di antara yang yang paling baru ialah di
negeri Kedah. Menteri-menteri Besar boleh ditukar ganti tetapi apa yang
meragukan ialah tentang sejauh mana keikhlasan pucuk pimpinan PAS melakukan
perbuatan-perbuatan ini dengan tidak mahu berunding terlebih dahulu dengan
kita.
Dimanakah letaknya semangat kerjasama
pucuk pimpinan PAS dalam Barisan Nasional? Apakah salahnya jika perkara ini
dirundingkan dengan kita terlebih dahulu? Jika kita sanggup merundingkan
terlebih dahulu mengenai hal-hal negeri Kelantan dengan pucuk pimpinan PAS,
mengapakah pucuk pimpinan PAS mahu membelakangkan kita mengenai hal di
negeri-negeri yang lain?
Sungguh sukar sekali bagi kita hendak
memahami tindak-tanduk pucuk pimpinan PAS ini. Setelah menimbulkan
gejala-gejala ini, pucuk pimpinan PAS melahirkan hasrat hendak terus kekal
dalam Barisan Nasional. Kita sungguh tidak faham dengan sikap dan pendirian
pucuk pimpinan PAS ini.
Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah
yang akan datang pada 17 Disember ini sudah pasti akan menimbulkan perbalahan
yang hebat. Tidakkah pucuk pimpinan PAS sedar atas perkara ini?
Apakah tujuan pucuk pimpinan PAS membuat
demikian? Bukankah ini semuanya merupakan gejala-gejala yang sengaja
ditimbulkan dengan niat hendak memecah-belahkan Barisan Nasional? Di negeri
Johor pula, pucuk pimpinan PAS di sana telah memberi amaran yang merupakan kata
dua bahawa calon-calon PAS akan bertanding dalam semua kawasan pilihan raya
menentang Barisan Nasional.
Dalam pilihan raya tahun 1974, UMNO
sebenarnya menghadapi kesulitan kerana terpaksa bertolak ansur dengan
memberikan beberapa kerusi baru dan kerusi-kerusi tambahan kepada PAS. UMNO
terpaksa berbuat demikian semata-mata dengan tujuan hendak mewujud dan
mengekalkan semangat kerjasama UMNO dengan PAS demi kepentingan dan faedah
rakyat.
Pucuk pimpinan PAS telah juga memberi
amaran bahawa kononnya lima buah negeri di Semenanjung Malaysia akan menerima
nasib seperti di Pulau Pinang.
Agaknya mereka merujuk kepada peristiwa
pilihan raya tahun 1969 dahulu jika sekiranya PAS meninggalkan atau dikeluarkan
daripada Barisan Nasional. Ugutan dan ancaman seperti ini merupakan satu
provokasi yang merbahaya. UMNO mempunyai maruahnya sendiri.
Kita sering kali juga mendengar desakan
supaya pucuk pimpinan PAS mengkaji semula kedudukan PAS dalam Barisan Nasional,
Perkara ini telah dibangkitkan dalam tiap-tiap Perhimpunan Agung PAS selama
tiga tahun berturut-turut setelah PAS menyertai gabungan besar ini.
Penubuhan ranting-ranting PAS dalam
kawasan-kawasan UMNO juga menimbulkan kecurigaan dan boleh membangkitkan salah
faham di kalangan rakyat. Banyak lagi perbuatan dan tindakan pucuk pimpinan PAS
yang meragukan.
Kita sentiasa berusaha dengan
bersungguh-sungguh memelihara perpaduan Barisan Nasional. Tetapi bagaimanakah
perpaduan dapat dikekalkan jika ada pihak-pihak yang tidak mahu mengikuti
peraturan dan tidak mahu mematuhi keputusan yang dipersetujui oleh ramai.
Perpaduan yang hanya ada pada nama sahaja tidak membawa erti apa-apa tidak
berfaedah.
Walaupun Barisan Nasional terpaksa
berpecah, tetapi ini tidak bererti pembangunan akan terjejas dan terhenti.
Pembangunan tetap akan berjalan terus. Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB)
mesti dijayakan dengan sepenuh-penuhnya. Inilah janji saya kepada rakyat
sekalian.
Berikutan dengan berlakunya
kejadian-kejadian ini, saya telah mengadakan sidang tergempar Dewan Tertinggi
Barisan Nasional pada Disember 1977, Fasal 14, Perlembagaan Barisan Nasional
membolehkan dengan suara majoriti memecat parti-parti ahli yang bergabung yang
didapati melanggar disiplin. Tetapi Barisan Nasional sekali-kali tidak berniat
hendak menggunakan Fasal tersebut bagi memecat PAS.
Barisan Nasional masih lagi, jika boleh,
berkehendakkan PAS tinggal kekal dalam Barisan Nasional. Sungguhpun demikian,
disiplin parti mesti dipelihara dan dipatuhi kalau kita mahu melihat Barisan
Nasional hidup berpanjangan. Oleh itu satu usul yang merupakan suatu tolak
ansur sebagai jalan keluar yang sebaik-baiknya bagi meyelesaikan masalah ini
telah dikemukakan dalam Dewan Tertinggi Barisan Nasional itu.
Tolak ansur ini merupakan usul yang
berkehendakkan supaya parti-parti anggota yang ahli-ahlinya didapati menentang
arahan parti whip mengenai sesuatu masalah yang dibentangkan di dalam dewan
rakyat, dewan negara atau dewan negeri hendaklah mengambil tindakan disiplin
terhadapnya dengan memecat mereka itu daripada parti masing-masing.
Apabila semangat kerjasama yang tulus
ikhlas itu luput dan disiplin parti telah diketepikan, Barisan Nasional sudah
tentu akan pecah dan musnah. Jika ini berlaku tentulah tidak berguna lagi.
Eloklah kekusutan yang berlaku ini diselesaikan sekarang juga kerana jika
dibiarkan berlanjutan akan merugikan parti dan rakyat.
Daripada sebelas parti anggota dalam
Barisan Nasional, sembilan telah menyokong, PPP berkecuali dan PAS menentang
usul itu. Keputusan suara terbanyak ini telah dimaklumkan dengan secara rasmi
kepada pucuk pimpinan PAS.
Memandangkan betapa pentingnya masalah
yang kita hadapi, saya telah mengadakan mesyuarat khas majlis Tertinggi UMNO
malam tadi. Majlis tertinggi UMNO telah membincangkan dengan teliti segala
akibatnya terutama sekali tentang sikap pucuk pimpinan PAS yang ada sekarang,
yang terang-terang menggugat perpaduan Barisan Nasional khususnya dan perpaduan
orang Melayu amnya. Kami berpendapat bahawa haruslah diwujudkan kesungguhan dan
keikhlasan bagi memperkukuhkan Barisan Nasional.
Memandangkan kepada perbuatan, sikap dan
pendirian pucuk pimpinan PAS selama ini, UMNO berpendapat kerjasama yang erat
tidak mungkin dapat terus wujud di antara UMNO dengan PAS dalam Barisan
Nasional.
Oleh yang demikian, bagi mengelakkan
pertelingkahan ini berpanjangan, yang akhirnya akan membawa perpecahan kepada
Barisan Nasional, Majlis Tertinggi UMNO telah dengan perasaan amat dukacita
mengambil pendirian, jika pucuk pimpinan PAS tidak mematuhi dan mengambil
tindakan sebagaimana yang dikehendaki di dalam Mesyuarat Dewan Tertingginya
pada 5 Disember yang lalu, UMNO akan meminta diadakan mesyuarat khas Dewan
Tertinggi Barisan Nasional supaya dipersetujui resolusi memecat PAS daripada
Barisan Nasional.
Pagi ini saya telah menyampaikan
pendirian UMNO itu kepada ketua-ketua parti anggota Barisan Nasional. Ketua-ketua
parti anggota Barisan Nasional dalam perjumpaannya pagi ini telah bersetuju
supaya mesyuarat khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional diadakan pada 13
Disember yang akan datang ini.
Inilah tujuan kami mengadakan perjumpaan
dengan ketua-ketua bahagian UMNO petang ini bagi menjelaskan pendirian yang
telah diambil oleh Majlis Tertinggi UMNO itu.
UMNO sudah membuat keputusan dan
menentukan pendiriannya. Keputusan dan pendirian itu adalah dibuat dengan hati
yang suci, demi kepentingan Barisan Nasional dan negara. Saya yakin dengan
kesucian hati kita itu, Allah akan memberkati perjuangan kita.
Saya merayu kepada semua ahli UMNO
supaya bertenang dan terus menjalankan tanggungjawab kita dengan lebih
berhati-hati lagi, lebih bersungguh-sungguh lagi dan lebih berdedikasi lagi.
Masa hadapan Barisan Nasional penuh dengan cabaran. Kita akan menghadapinya
dengan meminta petunjuk dan keredhaan Allah.
No comments:
Post a Comment