Wednesday, 15 September 2021

ULAMA BERSELISIH TARIKH ISRAK MIKRAJ

 
Umat Islam setiap tahun mengimbau peristiwa Israk dan Mikraj pada setiap kali tiba tarikh 27 Rejab. Banyak peristiwa boleh dijadikan pengajaran sepanjang Rasulullah SAW melalui detik Israk dan Mikraj. 

Kisah paling besar ialah di mana Rasulullah SAW menerima perintah melakukan ibadat solat, terus dari Allah SWT. 

Tarikh sebenar berlakunya peristiwa hebat itu masih lagi menjadi perselisihan di kalangan ulama.

Ada yang berpendapat ia berlaku sebelum baginda diangkat menjadi Nabi. Ia merupakan pendapat yang janggal. Majoriti ulama berpendapat ia berlaku selepas baginda menjadi Nabi. Ia diperkuatkan oleh banyak hadis yang sahih. 

Seterusnya ulama berbeza pendapat tentang tahun kejadian selepas kebangkitan baginda sebagai Nabi sama ada tahun ke 13, 12, 10 atau ke 8 Kenabian.

Begitu juga bulan sama ada bulan Safar, Rabiul Awal, Rabiul Akhir, Rejab, Syaban, Ramadhan, Syawal atau Zulhijjah.

Menurut Ibn Saad dan Nawawi serta Ibn Hazim ia berlaku setahun sebelum hijrah. Hijrah berlaku pada akhir Safar dan Awal Rabiul Awal.

Ini bererti peristiwa ini berlaku pada bulan Safar atau Rabiul Awal. Menurut Ibn Jauzi, 8 bulan sebelum hijrah. Ia bererti pada bulan Rejab.

Menurut Abu al-Rabi bin Sali, 6 bulan sebelum Hijrah. Ia bererti pada bulan Ramadan.

Menurut Ibrahim al-Harbi, dan ditarjihkan oleh Ibn al-Munir dalam Syrah al-Sirah oleh Ibn Abd al-Barr, ia berlaku 11 bulan sebelum hijrah iaitu pada bulan Rabiul Akhir.

Menurut Ibn Abd al-Barr, Ia berlaku 13 bulan sebelum hijrah. Ia bererti pada bulan Safar.

Menurut Ibn Faris, ia berlaku 15 bulan sebelum hijrah. Ia bererti pada bulan Zulhijjah.

Menurut al-Sudiy sebagaimana diriwayatkan oleh Tabari dan Baihaqi dan di pegang oleh al-Waqidi, 17 bulan sebelum Hijrah. Ia bererti ia berlaku pada bulan Syawal.

Menurut Ibn Qutaibah dan dihikayatkan oleh Ibn Abd al-Barr serta disebut oleh Ibn Saad daripada Ibn Abi Sirah, ia berlaku 18 bulan sebelum hijrah iaitu pada bulan Ramadan.

Menurut riwayat Ibn Abd al-Barr dan dipegang oleh Nawawi dalam al-Raudah, ia berlaku pada bulan Rejab. Menurut riwayat Ibn al-Athir, ia berlaku 3 tahun sebelum hijrah.

Namun, majhur ulama menerima peristiwa Israk Mikraj terjadi pada 27 Rejab tahun ke-12 dari masa kenabian atau setahun sebelum peristiwa hijrah. 

Tahun itu bersamaan 622 Masihi iaitu ketika Nabi Muhammad SAW berumur 52 tahun.

Tahun ini juga dikenali sebagai Tahun Dukacita kerana bapa saudaranya Abu Talib dan isterinya Khadijah Khuwailid meninggal dunia.

Nabi Muhammad SAW dan anak angkatnya Zaid Harithah diusir dan dibaling batu oleh penduduk Taif sehingga berdarah.

Peristiwa Israk Mikraj ini tercatat dalam surah al-Israk ayat 1 dan surah an-Najm ayat 13-18  juga menceritakan peristiwa ini.

No comments:

Post a Comment