Saturday, 18 November 2023

TAAT KEPADA PEMIMPIN DALAM PERKARA KEBAIKAN

 
Manusia hidup dalam masyarakat atau berkelompok yang mana akan ada di antara mereka dipilih sebagai pemimpin. Kewujudan pimpinan penting sebagai tempat rujukan dan menentukan sesuatu yang diperlukan oleh masyarakat.

Islam amat mementingkan aspek kepimpinan. Tanpa wujudnya pemimpin, kepentingan rakyat tidak akan mampu ditadbir dengan baik. Apabila masyarakat dibiarkan tanpa pemimpin nescaya keadaan akan menjadi huru-hara di mana golongan yang kuat akan menindas kaum yang lemah.

Justeru, urusan kepimpinan merupakan salah satu dasar utama dalam Islam. Maka itu, jika ada dua orang dalam satu kelompok atau kumpulan, maka salah satu perlu dilantik sebagai pemimpin. Dalam sebuah keluarga, suami menjadi pemimpin kepada isteri, biarpun mereka hanya berdua.

Firman Allah SWT: "Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh daripada kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemimpin di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa". (Surah an-Nur, ayat 55)

Lantaran itu Islam telah meletakkan beberapa dasar yang penting tentang bagaimana rakyat perlu berinteraksi dengan pemimpin yang berkuasa demi menjamin kestabilan politik serta kemakmuran masyarakat di sesebuah negara Islam. Tidak ada ertinya jika ada pemimpin, tetapi tidak dipatuhi atau ditaati.

Justeru, kepentingan mentaati pemimpin dijelaskan atau dirangkaikan dengan ketaatan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, dan Ulil Amri (pemimpin) di antara kamu". (Surah an-Nisa, ayat 59)

Namun dalam memberi ketaatan kepada pemimpin ada batasannya. Islam hanya menetapkan kewajipan untuk mendengar dan taat kepada pemimpin selagi mana pemimpin itu tidak menyuruh membuat perkara-perkara yang berunsur maksiat atau ingkar kepada perintah Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW: "Diwajibkan mendengar dan taat (kepada pemimpin) ke atas setiap Muslim sama ada dalam hal yang dia suka atau benci selagi mana dia tidak diperintah untuk melakukan maksiat. Jika dia diperintah melakukan maksiat maka tidak wajib untuk mendengar dan tidak wajib taat". (Hadis riwayat Bukhari).

Namun sekiranya pemimpin tersebut memerintahkan untuk melakukan perbuatan yang bertentangan dengan syarak, yang diingkari hanyalah perbuatan tersebut akan tetapi kesetiaan kepada pemimpin itu tetap perlu diteruskan. Ketaatan terhadap pemimpin berkenaan perlu diteruskan dalam hal-hal lain.

Sabda Rasulullah SAW: "Ketahuilah!  Sesiapa yang dipimpin oleh seorang pemimpin lalu dia melihat sesuatu kemaksiatan kepada Allah (yang dilakukan oleh pemimpin itu), maka bencilah kemaksiatan kepada Allah tersebut. Akan tetapi jangan menarik ketaatannya (kepada pemimpin itu)". - (Hadis riwayat Muslim)

Jelas sekali ketaatan terhadap pemimpin satu perkara penting. Ia bagi memastikan urusan kepimpinan yang melibatkan masyarakat, lebih-lebih dalam urusan keselamatan berjalan lancar.

Sekiranya pemimpin melakukan kesalahan maka hendaklah mereka dinasihati dengan cara yang baik berbekalkan niat hanya untuk membawa kebaikan kepada masyarakat keseluruhannya tanpa ada motif-motif yang lain.

No comments:

Post a Comment