Krisis penguasa (pemimpin) berpunca kelemahan ulama.
Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya Ulumuddin menjelaskan
bahawa krisis penguasa sebenarnya adalah berpunca daripada krisis ulama.
Beliau mengatakan: “Sesungguhnya, kerosakan rakyat
disebabkan oleh kerosakan para penguasanya, dan kerosakan penguasa disebabkan
kerosakan ulama dan kerosakan ulama disebabkan oleh kerosakan cinta harta dan
kedudukan, dan sesiapa dikuasai oleh cita-cita duniawi ia tidak akan mampu
mengurus rakyat kecil. Allah-lah tempat meminta segala persoalan.” (Ihya
Ulumuddin, Juz II, hal. 381).
Penglibatan golongan ulama mesti sebagai pendamai, bukannya
turut sebagai pemecah belah. Golongan ulama berkenaan sendiri masuk dalam
politik dan sudah tentu akan menyokong parti politik yang disertai.
Dal hal ini, mereka sendiri selayaknya dipanggil pemimpin dan bukan lagi maksud
ulama yang diharapkan menjadi penasihat kepada pemimpin.
Sebagai golongan yang dihormati dan dipandang tinggi dalam
sebuah negara Islam, ulama yang berpolitik menyebabkan kata-kata mereka
ditakrif sebagai ahli politik oleh setengah pihak dan pihak lain pula
menganggap sebagai ulama.
Keadaan ini dapat dilihat apabila ulama yang berpolitik sering mengikut
keputusan parti politik yang disertai atau disokong, berbanding menggunakan
hujah agama dalam membincangkan sesuatu isu.
Pada zaman al-Ghazali, ulama memainkan peranan yang cukup
besar bagi memastikan penguasa tidak menyalahgunakan kuasa dengan
sewenang-wenangnya.
Nabi Muhammad SAW bersabda: ”Sebaik-baik syuhada’ (mati
syahid) adalah Hamzah Abd. al-Muthalib, kemudian orang yang berdiri di hadapan
imam lalu memerintahnya (berbuat maruf) dan mencegahnya (dari berbuat yang
mungkar) kerana Allah, lalu ia terbunuh untuk itu”.
Institusi ulama belum berjalan dengan baik dan berkesan
kerana segelintir ulama lebih cenderung untuk berpolitik serta membentuk gaya
kepimpinan yang eksklusif, berada dalam kelompoknya dan hidup secara
berasingan.
Apabila ada ulama yang berdampingan dengan pemimpin yang
berkuasa, ulama berkenaan dikaitkan pula dengan istilah ulama suu’, ulama yang
boleh dibeli dan tidak membuat penilaian secara berilmu.
Tuduhan sedemikian menyebabkan jarak antara ulama dan umara
menjadi renggang, maka sebagai pemimpin yang berkuasa, jarak tersebut perlu
didekatkan melalui program-program tertentu.
Kegagalan ulama dalam menjernihkan persoalan atau krisis
yang berbangkit sesungguhnya akan mencetuskan persoalan mengenai kewibawaan
ulama itu sendiri.
Para ulama yang menyokong parti-parti politik ini akan
menegakkan perjuangan politik masing-masing melalui tindakan memutar-belitkan
ayat-ayat al Quran supaya umat Islam terpengaruh dengan menyokong mereka.
Akibatnya, umat Islam yang selama ini mengharapkan peranan
ulama untuk menjadi titik penamat terhadap konflik antara mereka menjadi
semakin berkecamuk.
Sememangnya kita tidak pasti sehingga bilakah sikap taasub
kelompok ulama yang terlibat dalam politik terhadap parti atau pemimpin mereka
akan berterusan.
Tetapi di dalam Islam sudah dinyatakan dengan jelas antara ulama sejati (ulama
khoir) yang berakhlak mulia dengan ulama su' iaitu ulama yang berakhlak buruk.
Gambar sekadar hiasan

No comments:
Post a Comment