Saturday, 25 November 2017

KRISIS PAS KELANTAN 1977


PAS sentiasa menuduh UMNO punca parti itu ditendang dari BN pada tahun 1977. Atas sebab pengalaman itu PAS dikatakan serik untuk menyertai BN kembali.

Fakta sebenar punca Krisis Kelantan 1977 bermula apabila timbulnya ketidak puasan hati PAS terhadap Menteri Besar ketika itu, Datuk Muhamed bin Nasir.

Ada di antara pemimpin PAS Kelantan memfitnah dan menuduh Datuk Muhamed Nasir terlalu mengikut telunjuk UMNO-BN. Hakikatnya pada ketika itu UMNO-BN tidak pernah campur tangan dalam corak pemerintahan PAS (ketika itu). Malah, sedangkan ketika itu keputusan pemerintahan PAS Kelantan masih di tangan kuasa majoriti dewan undangan negeri.

Pada ketika itu juga terdapat usaha dalam PAS untuk menjatuhkan Presiden PAS Tan Sri Datuk Dr. Haji Mohd Asri bin Haji Muda. Usaha menjatuhkan Datuk Mohd Asri hanya kerana Datuk Mohd Asri adalah tokoh PAS yang bertanggungjawab membawa PAS menyertai Barisan Nasional pada tahun 1973.

Asas yang digunakan oleh sebahagian pemimpin PAS Kelantan untuk menolak Datuk Mohd Asri dan Datuk Muhammad Nasir, hanya kerana selepas PRU 1973, PAS mempunyai kuasa majoriti dengan 22 kerusi dan UMNO hanya 13 kerusi, dan tidak memerlukan sebarang usaha bergabung antara PAS dan UMNO.

Dalam tempoh (1973-1978) Datuk Mohd Asri dan Datuk  Muhammad Nasir telah dikaitkan dengan pelbagai spekulasi dan masalah khususnya melibatkan PAS di Kelantan. Hakikatnya spekulasi dan tuduhan tersebut adalah hasil putar belit fakta sebahagian pemimpin dan ahli-ahli PAS yang tidak berpuashati dengan perpaduan PAS-UMNO.

Pada 15 Oktober 1977, DUN Kelantan telah meluluskan usul tidak percaya kepada Muhamed Nasir. 20 ADUN PAS menyokong manakala 13 ADUN UMNO bertindak keluar dewan.

Datuk Muhamed Nasir sendiri bertindak keluar Dewan dan kemudiannya telah mengadap Pemangku Sultan Kelantan di Istana Mahkota Kubang Kerian. Beliau difahamkan telah menasihatkan supaya DUN Kelantan dibubarkan bagi membolehkan satu pilihan raya negeri di adakan.

Pihak PAS juga difahamkan memohon mengadap bagi meminta seorang Menteri Besar baru dilantik dari kalangan ADUN PAS.

Apapun Kerajaan Pusat ketika itu menghormati keputusan yang dibuat oleh PAS Kelantan, atas dasar persefahaman dan tidak masuk campur dengan alasan yang diberi oleh PAS Kelantan itu dengan mendakwa perkara itu merupakan soal rumah tangga PAS.

Dalam pada itu rusuhan telah tercetus di Kota Bharu. Pihak Polis dengan bantuan Pasukan Pencegah Rusuhon terpaksa melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan rusuhan. Empat hari kemudian perintah berkurung di isytiharkan.

Bagaimanapun perintah berkurung itu tidak dapat meredakan keadaan. Kedua-dua pihak terus mengambil kesempatan untuk mengadakan provokasi terhadap satu sama lain. Pada malam 22 Oktober 1977, rumah bekas Timbalan Menteri Besar telah diserang perusuh menyebabkan beliau terpaksa melepaskan tembakan amaran.

Pada 8 November 1977, YAB Perdana Menteri, Datuk Hussein bin Onn telah membentangkan Rang Undang-Undang Kuasa-Kuasa Darurat (Kelantan) 1977 di Dewan Rakyat. Rang undang-undang tersebut telah dibahaskan selama hampir tujuh jam oleh lebih 20 orang ahli Yang Berhormat. Akhirnya ia dibawa untuk pengundian dan diluluskan dengan 118 menyokong manakala 18 ahli menentang.

Mulai tarikh tersebut, Pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan diletakan di bawah kuasa seorang pegawai persekutuan. Perdana Menteri telah melantik Encik Hashim bin Aman selaku pengarah MAGERAN.

Perdana Menteri juga meminta Datuk Haji Muhamed bin Nasir untuk terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar. Muhamed Nasir telah menubuhkan sebuah parti politik baru bernama BERJASA yang turut disertai oleh penyokong-penyokongnya dari PAS.

Pada 12 Febuari kerajaan Pusat menarik balik perintah darurat. Encik Hashim bin Aman telah menandatangani surat perletakan jawatan sebagai Pengarah MAGERAN dan menyerahkan tangungjawab mentadbir negeri sepenuhnya kepada Haji Muhamed Nasir, selaku Menteri Besar.

Pada 13 Februari 1978, Pemangku Sultan telah berkenan membubarkan DUN Kelantan atas nasihat Menteri Besar. Suruhanjaya Pilihan Raya kemudiannya menetapkan hari mengundi bagi pilihan raya negeri Kelantan pada 11 Mac 1978.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan melihatkan pertandingan sengit di antara PAS, BN dan BERJASA.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah mengumumkan bahawa BN dan BERJASA akan bergabung untuk menubuhkan kerajaan campuran sekiranya PAS gagal mendapat majoriti.

Seramai 321,669 penduduk Kelantan layak membuang undi. PRN ini amat penting untuk PAS dan juga UMNO. PAS Kelantan yakin akan dapat mempertahankan kerajaan dan percaya krisis dalaman parti ini tidak akan menjejaskan peluang parti tersebut.

Akhirnya pengundi di Kelantan telah membuat keputusan yang melihat PAS tersingkir dari tampuk kuasa setelah 20 tahun memerintah Kelantan. Keputusan PRN 11 Mac 1978 menyaksikan BN memenangi 23 kerusi, BERJASA (11) dan PAS 2 kerusi di dalam DUN yang mempunyai 36 kerusi.

Pengerusi BN, Datuk Hussein Onn mengumumkan BN akan menubuhkan kerajaan campuran dengan parti BERJASA. Tan Sri Mohamed Yaacob atau lebih popular dengan panggilan ‘Ayah Mat’ dari UMNO telah dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan yang baru.

Datuk Haji Mohamed bin Nasir pula telah di lantik sebagai senator dan menjadi Menteri dalam Kerajaan Persekutuan.

No comments:

Post a Comment