Friday 1 June 2018

KESALAHAN BERMAIN MERCUN

Mercun diharamkan di Malaysia. Namun, masih ramai tidak patuh undang-undang berkaitan mercun. Dilarang mengimport, menyimpan, mengedar, menjual dan bermain mercun. Biarpun rampasan mercun dibuat pihak berkuasa, jumlah mercun di pasaran gelap masih banyak. Penyeludup dan penjual mercun menggunakan pelbagai taktik untuk menjual mercun yang memberi keuntungan besar. Melakukan perkara ditegah, maka keuntungan hasil menjual mercun adalah haram.    

Keuntungan berlipat ganda menyebabkan banyak orang sanggup melakukan kesalahan dan kemungkinan dikenakan tindakan undang-undang yang berat. Ada penjenayah melakukan kesalahan sama biarpun pernah dikenakan hukuman sebelum itu. Mungkin pihak kerajaan perlu menimbangkan menggubal undang-undang mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah berkaitan mercun.

Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957 memperuntukkan undang-undang sesiapa yang bersalah mengilang, memiliki atau mengimport mercun atau bunga api, boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Mereka yang menyimpan mercun juga boleh didakwa di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan atau memiliki barangan larangan. Jika sabit kesalahan, pihak yang terlibat boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan itu atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Penjualan mercun masih berleluasan disebabkan ada permintaan daripada orang ramai, khususnya kanak-kanak. Ibu bapa sepatutnya mengawasi anak masing-masing agar tidak terlibat bermain mercun.

Kanak-kanak tidak mengerti tentang kecelekaan. Apa yang mereka inginkan ialah kegembiraan dan mencuba pengalaman baru. Di sinilah peranan ibu bapa dan orang dewasa memperjelaskan kepada kanak-kanak tentang bahaya akibat perbuatan itu. 

Sikap ibu bapa dan orang dewasa yang turut bermain mercun amat memalukan.  Mereka yang lebih-lebih berbanding kanak-kanak. Perbuatan itu tentunya ditiru pula oleh kanak-kanak.    

Dalam situasi itu tidak mungkin kita dapat mengatakan kepada kanak-kanak bahawa bermain mercun berbahaya. Mereka sendiri melihat orang dewasa bermain mercun, jadi apa pula salahnya mereka turut bermain. 

Penyertaan semua pihak untuk membenteras penyeludupan, penjualan dan bermain mercun perlu dilakukan secara menyeluruh. Tugas ini bukan tanggungjawab pihak berkuasa sahaja, bahkan lebih penting di kalangan ibu bapa dan anggota masyarakat. 

Kemeriahan Ramadan dan Syawal sepatutnya disambut dengan meningkatkan ibadat dan melakukan perkara yang baik. Ironinya, banyak di kalangan masyarakat Islam yang melakukan perkara yang ditegah atau bertentangan dengan syariat Islam. Ajaran Islam tidak membenarkan penganutnya melakukan sesuatu yang mendatangkan bahaya dan merugikan.

No comments:

Post a Comment