Monday 12 October 2020

KEADAAN DIBENAR BERDUSTA

Islam mengharuskan berdusta semata-mata untuk tujuan kebaikan. Perkara ini dijelaskan dalam sabda baginda yang bermaksud: “Tidaklah termasuk pendusta, orang yang berusaha mendamaikan perselisihan antara manusia, dan menghasilkan yang baik.” (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari).

Dalam hadis diriwayatkan Muslim dari Ummu Kaltsum menjelaskan beliau (Kaltsum) belum pernah mendengar adanya keringanan (diharuskan) dalam hal pendustaan biarpun sedikitpun, kecuali dalam tiga perkara iaitu dalam hal peperangan, mewujudkan perdamaian dalam masyarakat dan hubungan rumahtangga untuk mengekalkan kebahagiaan.

Pembohongan dalam peperangan dibenarkan kerana ia strategi untuk memenangi peperangan. Jika melakukan apa yang benar dalam peperangan, maka mudahlah dikalahkan oleh musuh. Peperangan itu sendiri adalah satu tipu daya dan menggunakan kekerasan mengikut batasan yang dibenarkan.  Rasulullah adalah panglima perang yang amat bijak merancang strategi perang, termasuklah melakukan tipu muslihat.  

Situasi diharuskan berbohong berkaitan kepentingan masyarakat ialah menyatakan sesuatu yang difikirkan akan mendatangkan kebaikan bersama. Kita diharuskan berbohong sebagai mengelak berlaku perkara tidak diingini. Namun berhati-hati jangan pula kita menjadi mangsa kepada situasi berkenaan. Jika diketahui apa dinyatakan itu bohong kesannya akan menikam diri sendiri.

Sesungguhnya mendamaikan dua pihak bertelingkah merupakan satu kejayaan besar. Firman Allah bermaksud: “Damaikanlah di antara saudara-saudaramu dan bertakwalah kepada Allah.” (Surah al-Hujurat, ayat 10).

Untuk mengelak persengketaan dalam rumahtangga, diharuskan wujud pembohongan. Namun, ia bukan bermakna diharuskan sengaja mencipta pembohongan untuk melakukan sesuatu. Pembohongan yang sengaja diada-adakan sekadar untuk mencari kebebasan melakukan perkara ditegah adalah diharamkan.  

Ramai pasangan mencipta pembohongan bagi membolehkan melakukan perbuatan tidak disukai pasangan masing-masing. Perbuatan itu amat tidak bermoral dan lambat laun akan diketahui juga. Ia secara tidak langsung akan mewujudkan keadaan saling tidak mempercayai dalam hubungan rumah tangga. 

Pembohongan hanya diharuskan apabila terlanjur melakukan sesuatu yang difikirkan mencetuskan sengketa rumahtangga, maka diharuskan menutup apa telah dilakukan itu seolah-olah tidak berlaku. 

Pembohongan dalam rumahtangga juga diharuskan untuk memulihkan hubungan yang retak. Hubungan suami isteri mudah didorong perasaan cemburu dan curiga. Justeru, banyak kes keretakan hubungan rumahtangga sukar dipulihkan, melainkan dilakukan secara tipu daya. Ada rumahtangga berakhir dengan perceraian berpunca perkara kecil.   

Keburukan utama berbohong ialah putusnya hubungan sesama manusia. Orang gemar menipu tidak disukai orang lain. Keyakinan terhadap orang gemar menipu terhakis dan secara langsung hilang nilai hubungan kemanusiaan yang berasaskan kepada keikhlasan, kerjasama dan ketakwaan. Tidak ada siapa rela dirinya dibohongi yang secara tidak langsung menjadi lambang kebodohan dirinya.

Di akhirat, orang berbohong mendapat penyiksaan di dalam neraka. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tiada melangkah kedua kaki saksi palsu pada hari kiamat nanti, sampai api neraka membakarnya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Hakim).

Secara tegasnya, semua orang beriman ditegah berbohong biarpun dalam perkara yang kecil. Jika sikap berbohong selalu diamalkan, lama kelamaan ia akan menjadi satu kebiasaan yang tidak ada lagi bezanya dalam perkara yang kecil maupun besar. 

Malah, kebiasaan berbohong akan menyebabkan seseorang terdorong melakukan perbuatan buruk yang lain. Pepatah Melayu ada mengatakan, siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi pencuri.

Tidak ada istilah bohong sunat, melainkan ia hanya diharuskan untuk tujuan muslihat yang penting untuk kebaikan. Kehidupan manusia akan lebih sempurna dan aman jika tidak ada pembohongan. Biasakan diri bercakap perkara yang benar biarpun ia sesuatu yang berat untuk diucapkan. 

No comments:

Post a Comment