Sunday 27 September 2020

AMAL SIKAP TERBUKA ELAK KEMUSNAHAN RUGIKAN UMMAH

Umat Islam perlu mengamalkan sikap terbuka, berfikiran luas, membina kekuatan dan mengelak daripada melakukan perbuatan yang memperlihatkan keburukan. Musuh Islam sentiasa mencari ruang dan peluang untuk melebalkan Islam sebagai agama melampau bagi memudahkan dikenakan tindakan sehingga melumpuhkan seluruh umat Islam.

Tindakan ekstrim segelintir umat Islam telah menyebabkan tekanan lebih menyeluruh dikenakan terhadap umat Islam di seluruh dunia. Sebut sahaja keganasan, kejadian itu seperti sudah senonim dengan umat Islam. Malah, sebut sahaja orang Islam, masyarakat Barat yang mudah prejudis terhadap Islam, terus berhati-hati dan mengenakan pelbagai langkah keselamatan.  

Umat Islam perlu mempertingkatkan kualiti melalui perpaduan, keilmuan, kekayaan dan kekuatan. Perkara ini dapat dicapai sekiranya seluruh umat Islam memahami sepenuhnya syariat Islam. Bilangan umat Islam yang kini berjumlah kira-kira 1.5 bilion orang di seluruh dunia, jika digembelingkan sepenuhnya mampu meletakkan Islam pada kedudukan yang lebih baik. 

Allah menyuruh agar setiap Muslim berjihad ke jalan-Nya. Firman Allah bermaksud: “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad sebenarnya.” (Surah al-Haj, ayat 78).


Biarpun dalam sejarah Islam, peperangan dan penggunaan senjata pernah dilakukan pada zaman Rasulullah dan pemerintah Islam dahulu, cara dan matlamatnya jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh golongan ekstrim sekarang 

Peperangan dan kekerasan yang diharuskan dalam Islam adalah jihad mempertahankan hak, membela kebenaran dan keadilan menurut hukum Allah. Perbuatan itu pula dilakukan mengikut cara dan batasan yang membawa kebaikan. 

Perintah agar umat Islam berperang terkandung dalam firman Allah, yang bermaksud: “Diwajibkan ke atasmu berperang menentang pencerobohan, sedangkan peperangan itu adalah perkara yang kamu benci.” (Surah al-Baqarah, ayat 216).  

Kita dapat membuktikan bahawa peperangan yang melibatkan umat Islam dilakukan sekadar ‘mencapai matlamat’, dan mematuhi prinsip dan etikanya. Islam menegah melakukan perang terhadap pihak yang tidak mampu mempertahankan diri dan bukan tentera, seperti orang awam, kanak-kanak, orang tua dan wanita. 

Biarpun Rasulullah memimpin tentera Islam lebih daripada 27 kali peperangan, ini bukan bermakna baginda sukakan peperangan. Peperangan ada pilihan terakhir untuk mempertahankan hak dan menegakkan kebenaran. 

Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 190 bermaksud: “Dan perangilah atas sabililah terhadap orang yang memerangi kamu. Dan janganlah kamu menceroboh (memulakan peperangan) kerana sesungguhnya Allah tidak suka orang yang menceroboh.”

Dalam setiap kali peperangan, Rasulullah sentiasa menasihatkan agar tentera Islam berperang dengan ikhlas semata-mata kerana Allah, bukan kerana tujuan lain seperti dendam, untuk mendapat harta rampasan, memiliki tawanan perang, mendapat kuasa dan sebagainya.

Biarpun tentera Islam dalam keadaan kuat dan berkuasa, tentera Islam dilarang melakukan perbuatan menyebabkan kemusnahan, melainkan sekadar apa yang bertujuan untuk mencapai kemenangan. Selepas kemenangan dicapai, tidak harus ada lagi apa-apa perbuatan kekerasan dilakukan. 

No comments:

Post a Comment