Friday 20 November 2020

PENGGUNAAN WANG KERTAS PENUH PENIPUAN

Pada 1944, diadakan perjanjian Bretton Woods yang melibatkan 44 buah negara dunia yang bersetuju untuk menyandarkan mata wang kertas masing-masing kepada Dolar Amerika dengan jaminan bahawa USD35 bersamaan dengan satu auns emas.

Negara-negara dunia tidak lagi menyandarkan mata wang kertas kepada rizab emas masing-masing seperti sebelum ini. Setahun selepas Dolar Amerika mendapat ‘daulat’ berkenaan, International Monetory Fund (IMF) pun ditubuhkan.

Pada 1971, kerajaan Amerika Syarikat pimpinan Ricard Nixon hampir bankrap gara-gara Perang Vietnam dan masalah defisit imbangan pembayaran yang berterusan.

Tuntutan rasmi terhadap rizab emas Amerika Syarikat melambung kepada USD32 bilion sedangkan rizab emas yang ada hanya satu pertiga. Keyakinan terhadap Dolar Amerika punah. Berduyun-duyun bank pusat negara lain memeras ugut Amerika Syarikat dengan cara menebus pegangan Dolar Amerika masing-masing. Emas mengalir keluar dari Amerika Syarikat lalu dengan sendirinya meruntuhkan nilai Dolar Amerika.

Namun Amerika licik bertindak dengan memutuskan ikatan antara Dolar Amerika dan emas. Ini bermakna Amerika Syarikat memungkiri perjanjian Bretton Woods dan bertindak secara unilateral untuk menguburkan system piawaian emas.

Selepas 15 ogos 1971, dolar tidak lagi bersandarkan kepada emas. Sejak itu, nilai dolar ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran pasaran tukaran wang asing.

Kesannya, semua matawang dunia berubah menjadi matawang fiat iaitu matawang yang bernilai sifar. Ini bermakna setiap Negara bebas mencetak wang kertas tanpa perlu bersandarkan kepada apa-apa rizab. Kalau ada pun, ia dalam jumlah yang kecil seperti yang ditetapkan oleh Special Drawing Rights IMF. Bayangkan betapa liciknya permainan ini.

Sekarang, ‘tabir’ yang melindungi wajah sebenar wang kertas semakin terungkai. Dunia mula mengetahui apa ada di sebalik wang kertas. Wang kertas tidak mempunyai nilai intrinsik seperti mana wang sebenar (contohnya emas, perak, sebakul barangan dan lain-lain).

Nilai yang dicetak di atas wang kertas kini ditentukan oleh kerajaan yang mengeluarkannya dan kuasa pasaran (market forces). Ini bermakna nilainya bergantung kepada permintaan dan manipulasi pihak yang mengeluarkannya. Ia hanya lah ‘janji’ untuk membayar dan pihak yang mengeluarkannya tidak semesti menunaikan ‘janji’ itu. Atas inilah, sebagai contoh, pada wang kertas Ringgit Malaysia yang kita gunakan sekarang, tercetak ayat, “wang kertas ini sah diperlakukan dengan nilai….”.

Wang kertas digelar fiat kerana ia bukan berbentuk komoditi tetapi dikeluarkan oleh pihak tertentu dan dijamin nilainya oleh pihak yang mengeluarkan.

Pengertian sebenar disebalik wang kertas ialah sekadar ‘sekeping kertas’ yang diterima pakai untuk semua urusan jual beli. Asas penerimaan kertas ini hanya atas dasar kepercayaan terhadapnya.Kepercayaan semata-mata! Itu sahaja! Sekiranya di suatu masa kelak, semua orang hilang kepercayaan terhadap ‘kertas ini’ lalu ia tidak lagi berguna, sekalipun jumlahnya berguni.

Sejarah membuktikan bahawa dalam peperangan mata wang sesebuah Negara dilanda krisis akan hancur lalu wang kertas dilambakkan seperti bukit di satu tempat dan dimansuhkan dengan cara membakarnya hingga hangus.

Di Malaysia, sebahagian besar generasi sebelum merdeka masih lagi mengingati istilah ‘duit pisang’ atau ‘duit Jepun’ yang menyaksikan berguni duit kertas tidak mampu untuk membeli secawan beras. Ungkapan ‘duit tak laku’ bukanlah sesuatu yang asing buat orang lama yang pernah melalui pengalamn buruk itu.

Selain wang kertas, wang fiat juga merujuk kepada wang dalam bentuk angka dalam akaun, hutang-hutang yang dikeluarkan oleh bank atau institusi kewangan dan kad plastic digital. Wang ini tidak disokong oleh apa-apa aset yang nyata. Nilainya mudah dimainkan oleh speculator matawang yang berniat jahat, tamak dan tidak berperikemanusian.

Krisis ekonomi Asia pada 1997 adalah contoh yang paling dekat dengan kita. Spekulasi dan manipulasi menyebabkan berlaku susut nilai matawang atau lebih buruk, matawang itu langsung tidak bernilai. Keadaan yang dinamakan ‘money meltdown’ ini sudah pun berlaku dalam tahun-tahun kebelakangan (kejatuhan Dolar Amerika pada 1973 dan 1980). Keadaan ini pasti akan berulang. Krisis ekonomi dunia diramal menjadi lebih teruk berbanding pada tahun 1929.

Sistem ekonomi kapitalis, bank dan institusi kewangan dengan cara tidak bertanggungjawab telah mencipta wang fiat dengan banyak di pasaran sehingga menyebabkan inflasi.

Inilah akan berlaku jika cadangan mencetak wang banyak-banyak dilakukan. Pada permulaan, rakyat akan mendapat keuntungan besar kerana mendapat banyak wang, tetapi tidak lama lepas itu, nilai wang akan jatuh apabila berlaku inflasi.

No comments:

Post a Comment