Saturday 28 November 2020

GUA MADU KAMPUNG BATU PAPAN

Kawasan Gua Musang terdapat banyak gua batu kapur. Antara gua yang sudah terkenal ialah Gua Madu yang terletak di Kampung Batu Papan di pinggir bandar Gua Musang.

Gua Madu mendapat namanya kerana terdapat banyak sarang lebah yang menghasilkan madu dalam gua berkenaan. Adalah dipercayai Gua Madu adalah gua yang menjadi tempat terbesar bagi lebah membuat sarang di negeri ini.

Menurut penduduk, jika bernasib baik, pengunjung akan dapat melihat madu yang menitik daripada sarangnya dan kesan pencari madu terutama di beberapa pokok besar di sekeliling gua sebagai tempat memanjat untuk mendapatkan sarang lebah.

Kerana begitu banyak sarang lebah, maka dipanggil penduduk setempat sebagai Gua Madu dan kerana sukar untuk mendapatkan madu di dinding gua yang bahaya, ramai pencari madu sudah tidak ke sini lagi.

Gua Musang pada satu ketika dahulu sememangnya terkenal sebagai tempat persembunyian komunis berdasarkan kepada keadaan geografinya yang banyak terdapat gua batu kapur yang sangat strategik untuk bersembunyi.

Gua Madu adalah satu lokasi persembunyian anggota komunis yang dijadikan markas mengatur strategi, mahupun sebagai transit tempat pertemuan dan menuju ke destinasi lain.

Dalam Gua Madu itu sebenarnya terdapat beberapa ruang yang dijadikan tempat menyimpan barangan, tempat bermesyuarat dan tempat penginapan anggota komunis pada ketika itu.

Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan dengan kerjasama penduduk kampung telah bekerjasama untuk menjadikan Kampung Batu Papan sebagai lokasi persinggahan utama pelancong ke Gua Musang.

Sejak awal 1980 lagi, beberapa peruntukan telah disalurkan oleh Kesedar seperti menjaga Gua Madu dengan dilengkapi prasarananya terutama tandas awam dan kedai makan.

JPS pula telah membina satu jambatan gantung merentasi sungai untuk ke gua berkenaan serta pengindahan tebing sungai bagi mencantikkan lagi suasana ke gua berkenaan.

Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan pula menyalurkan peruntukan melalui Kementerian Pelancongan bagi menarik minat seberapa ramai penduduk kampung itu menjadikan rumah mereka sebagai inap desa.

Kampung Batu Papan pernah dinobatkan sebagai Inap Desa Terbaik Kelantan dan disenaraikan dalam kalendar pelancongan sebagai tempat utama untuk dilawati di Kelantan terutama jika ke Gua Musang.

Gua Madu terletak di Kampung Batu Papan kira-kira 4 km dari bandar Gua Musang. Dari persimpangan T berhampiran Balai Polis Gua Musang, belok kiri kira-kira 2 km dan ke simpang utama ke Gua Madu. 

Dari persimpangan ini, anda perlu melalui kawasan kampung sejauh kira-kira 1 km sebelum anda tiba di tempat tersebut.

Gua Madu adalah antara beberapa gua batu kapur yang unik di Gua Musang. Dengan sumber sungai dan dikelilingi hutan yang masih berwarna hijau serta landskap kampung yang harmoni menarik minat penduduk setempat untuk menjalankan aktiviti riadah.

Untuk menarik lebih banyak pelancong datang ke Gua Madu, terdapat usaha membaik pulih dan meningkatkan kemudahan sedia ada di kawasan berkenaan. Gua Madu dijangka akan kembali menjadi tempat tumpuan pada masa terdekat.

No comments:

Post a Comment