Monday 2 January 2023

TANDA KEPINCANGAN MORAL REMAJA

 
Akhbar melaporkan seorang pelajar lelaki tingkatan empat memberi alasan hanya mahu keluar menyambut tahun baharu 2023 selepas dia ditangkap bersama seorang remaja perempuan berusia 18 tahun di dalam bilik sebuah hotel bajet di Kota Bharu.
 
Kedua-dua remaja itu dicekup kira-kira pukul 4 pagi semasa Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) menjalankan Operasi Ambang 2023.
 
Bukan hendak mencari salah siapa, tetapi cukup untuk memberi gambaran bahawa masalah sosial remaja semakin parah.
 
Usaha tarbiah dan dakwah kepada golongan muda perlu dipertingkatkan. Ia tidak cukup dengan hanya slogan negeri dan bermotifkan politik.
 
Ibu bapa, keluarga, pemimpin dan seluruh ahli masyarakat harus sedar bahawa mendekati dan mendidik remaja bukan dengan politik yang sempit dengan berasa sudah cukup alim dan baik dengan hanya apabila bersama-sama atau menyokong parti politik tertentu.
 
Kejayaan kerajaan negeri mahupun negara bukan semata-mata dikira berjaya apabila sesuatu akta dikuatkuasakan atau operasi judi berlesen ditamatkan.
 
Kejayaan sebenar ialah apabila rakyat terdidik dengan pengetahuan dan rasa takwa yang tinggi, yang menjauhkan mereka daripada melakukan perkara yang ditegah oleh agama dan undang-undang.
 
Orang Islam yang beriman dan bertakwa tidak akan terlibat dengan judi biarpun operasi kedai judi berada di hadapn rumahnya. Namun, jika tidak ada kesedaran dan keinsafar tentang keburukan judi seperti telah dijelaskan ajaran agama, mereka akan tetap berjudi melalui pelbagai kaedah lain.
 
Ibu bapa dan pemimpin perlu lebih memberi tumpuan kepada mendidik remaja kepada kehidupan beragama, bukannya menjadi pengikut politik membabi buta.

No comments:

Post a Comment