Wednesday 19 July 2023

MAKSUD PERKATAAN RENTIS

 
Banyak orang tidak mengetahui maksud perkataan “rentis”, bahkan mungkin juga tidak pernah mendengar atau membaca perkataan tersebut. Mereka menganggap tersilap dengar atau tulis. Perkataan rentis dianggap rentas.
 
Sebenarnya tidak ada penjelasan khusus mengenai maksud perkataan rentis. Jika dibuat carian di internet, perkataan rentis banyak digunakan dalam berita atau rencana yang ada kaitan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
 
Contoh berita - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihati pemaju projek untuk tidak melakukan kerja terlalu hampir dengan kawasan izin lalu rentis (right-of-way) talian penghantaran voltan tingginya bagi mengelak kejadian percikan arka (arcing) yang boleh menggugat kestabilan sistem Grid Nasional.
 
Di kalangan peminat kembara berjalan kaki (hiking) juga kerap menggunakan perkataan rentis dalam menjelaskan tentang aktiviti mereka.
 
Secara maksud umum yang difahami, “rentis” membawa erti kawasan atau jalan yang diselia atau “dimiliki” oleh individu, organisasi atau syarikat. Untuk melalui atau menggunakan kawasan rentis perlu kepada kebenaran, pengawasan mahupun bayaran daripada pihak yang menyelia atau diberi hak-hak yang berkaitan.
 
Kebenaran atau bayaran itu bertujuan untuk keselamatan, kawalan pergerakan atau aktiviti, pengurusan dan hal-hal yang berkaitan.
 
Contohnya, pengembara berjalan kaki yang ingin memasuki sesuatu kawasan hutan, bukit atau gunung perlu mendaftar dengan pihak yang ditetapkan, mempunyai pengiring dan peraturan lain yang bertujuan untuk memastikan keselamatan, pengurusan kawasan dan penyediaan kemudahan yang diperlukan.
 
Jadi, jangan suka hati rentas kawasan rentis.
 

No comments:

Post a Comment