Wednesday 12 July 2023

PERJUANGAN PAS BUKAN SEPERTI MISI PERANG TABUK

 
Pas sentiasa mengaitkan perjuangan mereka dengan Islam. Lalu, akan dibuat perbandingan apa yang dilakukan dengan apa yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW untuk menaikkan semangat ahli.
 
Satu perkara yang selalu dikaitkan dengan perjuangan Pas ialah disamakan dengan perjuangan Islam melawan kafir Harbi dengan membandingkan perjuangan mereka seperti menyertai Perang Tabuk.
 
Hakikatnya pertandingan atau pilihan raya menentukan kuasa atau kerajaan sesama umat Islam. Baik Pas, UMNO, PKR, Amanah mahupun Bersatu semuanya, khususnya pimpinan tertinggi adalah orang Islam yang mengikuti ajarannya seperti solat, haji, zakat, puasa dan yang mengucap 2 kalimah sahadah sama seperti mereka juga.
 
Sikap memandang musuh politik seperti bukan seagama amat membahayakan. Ia boleh memesongkan fahaman dan sikap penyokong parti. Sebab itu ada yang menganggap Pas itu Islam dan Islam itu Pas.
 
Jika tidak menyokong Pas samalah seperti tidak menyokong Islam dan secara tidak langsung boleh dianggap tidak Islam atau sekurang-kurangnya telah melakukan dosa besar.
 
Mereka membayangkan parti lain sebagai parti kaum musyrikin yang perlu ditentang dan dilawan sebagaimana Nabi menentang kaum musyrikin di Mekah.
 
Amat jauh sikap sesat mereka. Mereka mentafsir sesuatu dengan nafsu marah dan hati yang buta kepada kebenaran. Kefahaman ini perlu dibanteras daripada terus menguasai minda umat Islam.
 
Disebabkan mereka yakin bahawa perjuangan mereka seperti peristiwa Perang Tabuk, maka mereka sanggup berjuang apa sahaja, termasuk membelanjakan harta benda.
 
Peristiwa Perang Tabuk berlaku pada bulan Ramadan. Apabila pengaruh Nabi Muhammad SAW tersebar ke pelusuk Semenanjung Tanah Arab, sekali gus memberikan tamparan hebat kepada Rom yang menjadi kuasa besar pada masa itu.
Lantas Hercules, Maharaja Rom Timur (Byzantine) memutuskan bagi menyekat pengaruh umat Islam dengan menyerang utara Tanah Arab.
Apabila berita itu sampai kepada pengetahuan Nabi Muhammad SAW, Baginda SAW mengarahkan umat Islam berkumpul bagi menghadapi Rom dan mengutip sumbangan derma.
 
Pada masa itu, Semenanjung Tanah Arab mengalami musim panas dan kesusahan, kebun tamar pula sedang berputik yang perlu penjagaan.
 
Tambahan pula jarak antara Kota Madinah dengan Tabuk yang cukup jauh. Iman umat Islam ketika itu benar-benar teruji.
 
Namun, mereka tetap taat kepada perintah Nabi Muhammad SAW. Baginda SAW sendiri memimpin tentera seramai 30,000 orang ke utara Madinah.
 
Rasulullah SAW berada di Tabuk pada 26 Ramadan tahun 9 Hijrah. Baginda SAW bersama tentera Islam bergerak meninggalkan Kota Madinah pada bulan Rajab dan tiba di Tabuk pada bulan Syaban. Peristiwa ini sangat penting dalam lipatan sejarah dunia.
 
Buah-buahan mula menunggu masa masak untuk dipetik menjadi rezeki sara hidup mereka. Allah SWT berfirman mendedahkan sifat orang-orang munafiq yang berpura-pura Islam dan didedahkan sifat orang yang ikhlas beriman sebenar-benarnya.
 
Firman Allah SWT bermaksud: “Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu’. Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.” (Surah Taubah, ayat 42)
 
Peristiwa bersejarah ini menyerlahkan kekuatan tentera Islam yang menyerahkan harta dan diri mereka untuk Islam.
 
Mereka sedikit pun tidak beralasan mengelakkan diri daripada menyumbang walaupun kemarau melanda membahangi mereka. Sebaliknya mereka berlumba-lumba menyumbangkan harta masing masing.
 
Saidina Abu Bakar menyerahkan seluruh hartanya, Saidina Umar pula menyumbang separuh daripada hartanya dan Saidina Uthman yang kaya menyumbangkan terlalu banyak sehingga Rasulullah SAW berdoa supaya Allah SWT meredainya sepanjang malam.
 
Orang yang miskin juga ada yang menyumbang walaupun sedikit sekalipun diejek oleh orang-orang munafiq. Manakala orang yang terlalu miskin, ada yang menangis kerana tiada harta dan kenderaan bagi menyertai misi tentera Islam ke Tabuk. 

No comments:

Post a Comment