Saturday 1 July 2023

PARTI POLITIK BUKAN PENENTU KEIMANAN

 
Tidak wajar bagi seorang agamawan atau ilmuan agama memberi pandangan yang mengharuskan agama Islam diperalatkan oleh mana-mana parti politik bagi mendapat kuasa memerintah.
 
Hakikat yang mesti difahami semua ialah Islam sebagai agama yang diwahyukan Allah SWT lebih besar dan unggul daripada mana-mana organisasi politik yang ditubuhkan oleh manusia.
 
Justeru sifat agama Islam itu adalah sakral (suci), manakala parti politik tidak sakral atau terpelihara daripada kekurangan, kelemahan dan kesilapan.
 
Mesti juga difahami bahawa tujuan Islam di dalam politik bukan semata-mata untuk menguasai tampuk pemerintahan, tetapi bertujuan menegakkan prinsip unggul dikehendaki syariah iaitu kebebasan, keadilan, kebajikan untuk rakyat, membasmi kemiskinan, memerangi rasuah dan seumpamanya.
 
Ajaran Islam menyediakan arahan, bimbingan dan kaedah tersendiri supaya dilaksana bagi mencapai matlamat menegakkan negara contoh yang didambakan atau 'Baldatun tayyibatun wa Rabbun Ghafur' iaitu sebuah negara yang baik, aman, makmur serta mendapat keampunan Tuhan.
 
Sifat agama Allah SWT yang sempurna dan mencakupi segala aspek tidak bererti memberi lesen kepada mana-mana pihak menunggang agama kerana ingin mencapai matlamat yang dicita-citakan.
 
Seharusnya rakyat tidak menjadikan agama sebagai polemik dan perbalahan politik perlu diambil perhatian serta dipatuhi semua pihak terutamanya pemimpin politik.
 
Agenda retorik perpecahan yang dicipta dengan alasan tuntutan agama adalah satu perkara yang menyalahi ajaran Islam. Sepatutnya, pemimpin Islam menjadi contoh menyeru rakyat agar bersatu hati untuk mengemudi negara ke arah pembentukan masa hadapan lebih baik.
 
Pilihan raya bukanlah peperangan atau jihad. Hukum, situasi dan fiqhnya berbeza. Jangan sesekali menyalah gunakan hadis Nabi SAW bahawa peperangan itu satu tipu daya untuk menipu, memfitnah dan berbohong dalam pilihan raya.
 
Sedarlah, musuh politik bukanlah musuh Islam, sesiapa yang tidak mengundi sesuatu parti yang mendakwa memperjuangkan Islam tidaklah berdosa kerana Islam ialah agama Allah dan parti politik adalah dicipta oleh manusia.
 
Maka tidak wajib sokong sesebuah parti dan sesiapa yang mewajibkan sokong sesebuah parti adalah berdosa dan berdusta atas agama Allah SWT.
 
Sebagai insan yang diberikan akal dan maklumat jelas mengenai politik, sokonglah apa jua parti yang terbaik untuk rakyat dan negara. Menegakkan Islam ialah wajib, tetapi bukan hanya satu parti sahaja yang layak dikatakan yang menegakkan Islam.
 
Islam dan takwa itu letaknya pada amalan individu bukan pada parti atau negeri mana dia berasal. Pilih parti, calon pilihan raya berdasarkan kelayakan, kebolehan dan kemampuan untuk memimpin negara. Jadikan agama sebagai panduan bukan tunggangan.

No comments:

Post a Comment