Sunday 24 September 2023

SEJARAH SMO BERMULA DI PASIR MAS

 
Nama SMO memang terkenal di Kelantan. SMO akronim kepada Syarikat Muda Osman. SMO terkenal sebagai syarikat yang mempunyai banyak cawangan di seluruh Kelantan serta di luar Kelantan dalam pembekalan alat tulis, buku dan majalah.
 
SMO diasaskan oleh Muda bin Osman pada 1931. Ia bermula dengan perniagaan pinggan mangkuk, karung guni dan kitab di bandar Pasir Mas. Setelah itu ditambah jenis perniagaan dengan menyediakan khidmat menjahit baju dan songkok. Pada pertengahan 50-an, SMO dilantik sebagai pengedar rokok bagi kawasan Pasir Mas.
 
Hanya pada 1961 sahaja barulah perniagaan buku dan alat tulis dimulakan. Setelah itu perniagaan makin berkembang hingga boleh membuka sebuah kedai di Kota Bharu pada tahun 1967.
 
SMO telah berkembang menjadi salah sebuah syarikat bumiputera yang berjaya dan dikenali ramai serta diiktiraf keupayaannya dari aspek kewangan dan kredibiliti.
 
Sejajar dengan perkembangan pesat perniagaan, SMO telah diperbadankan menjadi Syarikat Sendirian Berhad pada 25 Ogos 1987 setelah pengurusan diambil alih oleh anak-anak Muda Osman yang meneruskan legasi periagaan keluarga.
 
Peningkatan taraf perniagaan ini bertujuan untuk mengiktiraf ahli-ahli keluarga yang berkelayakan profesional dalam mentadbirkan perniagaan dan seterusnya menerajui pengurusan syarikat dalam perniagaan buku dan rokok.
 
SMO telah diiktiraf sebagai pengedar tunggal Dawama Sdn. Bhd. untuk buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka di seluruh negeri Kelantan di samping beberapa penerbit yang tidak asing lagi di kalangan pembaca antaranya Sasbadi, Pelangi, Oxford Fajar, MPH, Pearson, Utusan Publications dan lain-lain.
 
SMO juga merupakan pembekal utama buku-buku teks pelajaran ke sekolah sekolah serta institusi-institusi pengajian tinggi di negeri Kelantan.
 
Di samping itu juga SMO merupakan penaja kepada beberapa Pesta Buku Kelantan, satu acara tahunan anjuran Jabatan Pelajaran Kelantan dan Persatuan Perpustakaan Sekolah Kelantan (PUSTAKA) bagi mempromosikan buku-buku di samping menggalakkan budaya membaca di kalangan pelajar-pelajar sekolah serta kanak kanak di pelbagai peringkat usia.
 
Pada bulan November 1999, lanjutan dari penggabungan syarikat induk Malaysian Tobacco Company Berhad dengan Rothman International Berhad, SMO telah membuat keputusan untuk menarik diri dari bidang pengedaran rokok.
 
Secara strategik SMO telah membuat keputusan untuk mengembangkan lagi perniagaan buku dan alat tulis dengan membuka cawangan-cawangan di sekitar negeri Kelantan dan luar Kelantan.



No comments:

Post a Comment