Friday 27 October 2023

MAKSUD ANTISEMITIK

 
Semit atau semitik adalah merujuk kepada bangsa yang bertutur dalam bahasa Semit iaitu seperti bahasa Ibrani, Arab dan beberapa bahasa kuno.
 
Perkataan antisemitik atau antisemitisme digunakan oleh orang Yahudi untuk merujuk kepada mana-mana pihak yang menunjukkan sikap permusuhan atau prasangka terhadap bangsa tersebut.
 
Prasangka terhadap Yahudi oleh pihak antisemitik merangkumi dalam bentuk penganiayaan atau penyiksaan terhadap agama, etnik dan kelompok ras. Sikap anti itu ditujukan kepada individu dan kelompok.
 
Istilah yang dianggap Yahudi sebagai antisemitik adalah seperti anti-Yahudi, anti-Zionis dan anti-Israel.
 
Hakikat sebenar perkataan antisemitik adalah ditujukan kepada semua bangsa Semit. Namun, orang Yahudi terlebih “terasa” itu sebagai menunjukkan kebencian terhadap bangsa Yahudi.
 
Malah, bangsa Yahudi menganggap perkataan antisemitik sebagai lebih saintifik atau lebih akademik berbanding perkataan “Judenhass” (benci-Yahudi” yang telah tular di Jerman pada akhir abad ke-19.
 
Kamus Merriam-Webster mendefinisi “antisemitisme” sebagai seseorang yang berpendirian yang tidak bersetuju dengan fahaman dan cara hidup penganut agama dan bangsa Yahudi.
 
Jelas sekali definisi tersebut tidak menyatakan ia satu pemusuhan terhadap kaum Yahudi.
 
Hakikatnya, Yahudi secara berterusan melabelkan pihak yang tidak sehaluan dengannya sebagai antisemitik, termasuklah apabila menentang tindakan ganas tentera Israel terhadap rakyat Palestin.
 
Malaysia pernah dilabelkan sebagai antisemitik fanatik oleh kerajaan Israel. Hakikatnya, dari segi diplomatik, Malaysia menentang tindakan ganas tidak berperikemanusiaan tentera Israel terhadap rakyat Palestin.
 
Malaysia bukan menentang atas dasar bangsa Yahudi. Ada orang Yahudi beragama Islam. Malah, ada orang Yahudi yang menyokong dan menjadi aktivis Palestin.
 
Kaum Yahudi bukan sahaja tinggal di Israel, bahkan di seluruh dunia sebagai warganegara di negara mereka tinggal. Justeru, Malaysia tidak menghalang kaum Yahudi memasuki Malaysia sekiranya dia bukan warganegara Israel, kerana kemasukkan mereka menggunakan pasport dari negara yang diiktiraf.
 
Malaysia menentang sebarang bentuk keganasan tanpa mengira ia dilakukan oleh mana-mana kaum atau negara sekalipun. Ia selaras dengan ajaran Islam yang menentang sebarang bentuk keganasan, penindasan dan ketidakadilan.

No comments:

Post a Comment