Hospital Tanah Merah (HTM) mencatat detik bersejarah apabila
berjaya melaksanakan pembedahan pemindahan tisu pertama pada tahun 2025.
Pembedahan tersebut melibatkan seorang penderma organ yang
berusia 40 tahun dan disahkan telah meninggal dunia.
Dalam prosedur yang diadakan pada Khamis 15 Mei 2025, tisu
kornea mendiang telah didermakan kepada seorang pesakit yang memerlukan, sekali
gus menjelmakan hasrat mulia keluarga arwah untuk membantu sesama insan.
Pembedahan ini dijalankan oleh Pakar Bedah Kornea dari
Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Dr Nor Sharina binti Yusof dan Dr
Ameilia binti Ahmad Pakar Oftalmologi Hospital Tanah Merah (HTM).
Usaha ini turut disokong oleh Dr Azaharim bin Omar dari Unit
Perolehan Organ Hospital (UPOH) HRPZ II bersama Top Team Hospital Tanah Merah.
Pembedahan ini bukan sahaja menandakan permulaan baharu
dalam sejarah perubatan Tanah Merah untuk tahun ini, malah menjadi kes
pendermaan tisu pertama yang direkodkan oleh Hospital Tanah Merah.
Pihak Hospital Tanah Merah turut merakamkan ucapan takziah
dan penghargaan tidak terhingga kepada abang dan keluarga mendiang atas
keputusan penuh keberanian dan keikhlasan membenarkan organ beliau didermakan.
Dalam saat berduka, keluarga mendiang memilih untuk memberi
sinar harapan kepada insan lain yang memerlukan.
Majlis itu dihadiri oleh Pengarah Hospital Tanah Merah, Majistret,
Dr Mohd Nasir bin Abdul Kadir, majistret, pegawai polis memberikan penghormatan
atas sumbangan mendiang kepada komuniti dan dunia perubatan.
Pihak hospital menyifatkan tindakan ini sebagai satu contoh
kasih sayang yang luar biasa dan bukti bahawa pendermaan organ mampu
menyelamatkan nyawa serta memberi kehidupan baharu kepada orang lain.
Sumber - FB Hospital Tanah Merah - Rasmi