Wednesday, 22 March 2017

Isu kesihatan wanita


Wanita merupakan insan yang sangat mudah mendapat penyakit jika tidak dijaga daripada awal. Banyak masalah kesihatan dikaitkan dengan wanita pada hari ini. Berikut adalah 10 isu kesihatan yang kerap dialami wanita:

1. Kanser
kanser yang kerap menyerang wanita adalah barah payudara dan kanser serviks. Pengesanan awal dua jenis kanser ini menjadi kunci memastikan wanita kekal sihat.

Statistik global terbaru menunjukkan kira-kira setengah juta wanita maut akibat kanser serviks, manakala setengah juta lagi maut akibat kanser payudara setiap tahun.

Kebanyakan kes kematian berlaku di negara berpendapatan sederhana dan rendah kerana imbasan awal, pencegahan dan rawatan hampir tidak disediakan, manakala vaksin untuk virus human papilloma (HPV) ditangguhkan.

2. Kesihatan reproduksi
Masalah kesihatan reproduksi dan seksual menyumbang satu pertiga isu kesihatan wanita berusia 15 hingga 44 tahun.

Seks yang tidak selamat adalah faktor utama, terutama wanita dan remaja di negara membangun. Kira-kira 222 juta wanita tidak mendapat perkhidmatan kontrasepsi yang diperlukan.

3. Kesihatan ibu
Kebanyakan wanita mendapat manfaat daripada penambahbaikan besar-besaran penjagaan ketika kehamilan dan kelahiran yang diperkenalkan sedekad lalu.

Namun, kemudahan itu tidak disediakan di semua tempat dan pada 2013 dilaporkan kira-kira 300,000 wanita maut akibat komplikasi ketika mengandung dan bersalin. Kebanyakan kes kematian ini boleh dicegah jika perancangan keluarga dan kemudahan asas disediakan.

4. HIV
Sejak 30 tahun lalu ketika wabak AIDS melanda, ramai wanita muda menjadi mangsa jangkitan. Terlalu ramai wanita muda berjuang melindungi diri mereka daripada penyakit jangkitan seks HIV dan mendapat rawatan diperlukan.

Mereka terdedah kepada penyakit tuberkulasis atau batuk TB yang juga penyebab utama kematian dalam kalangan wanita berusia 20 hingga 59 tahun di negara berpendapatan rendah.

5. Penyakit jangkitan seks (STI)
Walaupun jangkitan HIV dan HPV penyakit jangkitan kelamin paling kerap dialami di seluruh dunia, penyakit jangkitan lain juga penting untuk dicegah dan dirawat seperti gonorrhoea, klamidia dan sifilis.

Ini kerana sifilis yang tidak dirawat menyumbang kira-kira 200,000 kematian bayi dalam kandungan dan pramatang setiap tahun, manakala 90,000 kematian bayi baru dilahirkan.

6. Keganasan terhadap wanita
Wanita mudah menjadi subjek kepada pelbagai bentuk keganasan yang berlainan, tetapi keganasan fizikal dan seksual, sama ada dilakukan pasangan atau orang lain, adalah paling menyakitkan.

Hari ini, seorang daripada tiga wanita bawah 50 tahun mengalami keganasan fizikal atau seksual dilakukan pasangan atau orang lain yang menjejaskan fizikal dan mental mereka dalam jangka masa pendek dan panjang.

Oleh itu, penting kepada mereka yang sihat untuk sentiasa prihatin terhadap keganasan dan membantu mencegahnya, selain memberi sokongan kepada mangsa.

7. Kesihatan mental
Kajian menunjukkan wanita lebih cenderung daripada lelaki untuk mengalami keresahan, kemurungan dan aduan somatik iaitu gejala fizikal yang tidak dapat dijelaskan secara perubatan.

Kemurungan adalah masalah kesihatan mental paling kerap berlaku dalam kalangan wanita dan kejadian membunuh diri penyebab utama kematian wanita berusia bawah 60 tahun.

Oleh itu, penting menyedarkan mereka mengenai isu kesihatan mental dengan memberi sokongan untuk mendapatkan bantuan.

8. Penyakit tidak berjangkit (NCD)
Pada 2012, kira-kira 4.7 juta wanita maut sebelum usia 70 tahun akibat NCD dan kebanyakan mereka dari negara berpendapatan sederhana dan rendah. Mereka maut akibat kemalangan jalan raya, merokok, alkohol, dadah dan obesiti.

Dianggarkan 50 peratus wanita di Eropah dan Amerika mengalami obesiti dan membantu remaja perempuan dan wanita lain mengamalkan gaya hidup sihat di peringkat awal adalah kunci kesihatan hidup.

9. Menjadi ibu muda
Remaja perempuan berdepan pelbagai cabaran kesihatan reproduksi dan seksual seperti STI dan kehamilan. Kira-kira 13 juta remaja perempuan bawah usia 20 tahun melahirkan anak setiap tahun.

Komplikasi daripada kehamilan dan bersalin menjadi penyumbang utama kematian dalam kalangan ibu muda dan ramai menderita akibat keguguran yang tidak selamat.

10. Menjadi tua
Kebanyakan wanita yang sudah tidak bekerja atau bersara memperoleh wang pencen dan kemudahan lain yang sedikit berbanding lelaki, sekali gus kurang mendapat penjagaan kesihatan dan perkhidmatan sosial.

Selain berisiko miskin dan masalah lain berkaitan usia tua seperti nyanyuk, wanita tua kurang mendapat perkhidmatan kesihatan yang baik.


No comments:

Post a Comment