Friday, 1 June 2018

MANGSA BERMAIN MERCUN

Setiap Ramadan dan Syawal pasti ada berlaku kecelaan tragedi akibat bermain mercun. Kecederaan dialami bermain mercun agak parah sehingga kehilangan tangan. Mangsa bermain mercun bukan sahaja kanak-kanak, bahkan turut melibatkan orang dewasa. Mangsa bermain mercun mengalami kecacatan kekal.

Mengapakah berlaku kecelakaan bermain mercun?  Bermain mercun bukan budaya Islam. Amalan membakar mercun adalah budaya masyarakat Cina setiap kali menyambut perayaan atau meraikan sesuatu kejayaan. Peliknya, semasa perayaan Tahun Baru Cina tidak pula ada laporan mengenai kecelakaan akibat bermain mercun.      

Mercun dan bunga api diharamkan di negara kita. Agensi kerajaan seperti polis dan kastam sentiasa bertindak tegas untuk membenteras penyeludupan dan penjualan mercun.

Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957 memperuntukkan undang-undang sesiapa yang bersalah mengilang, memiliki atau mengimport mercun atau bunga api, boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Mereka yang menyimpan mercun juga boleh didakwa di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan atau memiliki barangan larangan.  Jika sabit kesalahan, pihak yang terlibat boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan itu atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Ibu bapa jangan berkompromi dengan isu mercun. Biarlah anak merengek dan merayu, tetapi jangan sekali-kali membenarkan mereka bermain mercun. Carilah altenatif lain untuk berhibur menyambut perayaan. 

Tindakan ibu bapa yang membeli mercun untuk anak bermain samalah seperti memberikan mereka sebutir bom. Banyak kes kecelakaan mercun melibatkan yang dibeli oleh ibu bapa sendiri. Itu satu jenayah besar bapa terhadap anak. Kesan kecederaan akibat mercun ditanggung oleh anak seumur hidup, bahkan ada melibatkan kes kematian.

Selain mercun dan bunga api yang dibeli, kanak-kanak peringkat umur pertengahan banyak menjadi ‘pakar’ bahan letupan. Mereka menggunakan minyak goeslin dan karbaid untuk menghasilkan bunyi yang kuat hasil pembakaran dalam tong, batang besi maupun buluh. 

Tidak kurang juga yang ingin meningkatkan kuasa letupan dan bunyi mercun dengan cara di masuk ke dalam batang besi atau bahan lain. Belerang daripada mercun atau bunga api disatukan dan dimampatkan untuk menghasilkan letupan yang lebih kuat.   

Semangat ‘sainstis’ dan berani ini ternyata tidak bertempat. Semangat itu perlu disalurkan pada tempat yang sepatutnya. Kita mengharapkan lebih ramai pelajar yang berjiwa sainstis, tetapi bukan melalui kajian dan praktikal berkaitan mercun. 

Kebanyak kes kecelakaan disebabkan perbuatan mengubahsuai mercun atau ‘meriam’ buatan sendiri. Kes begini biasanya melibatkan beberapa orang mangsa disebabkan kanak-kanak bermain secara berkumpulan atau sebagai penonton.

Dengan kata lain, ibu bapa tidak harus berpuas hati hanya kerana anak tidak menjadi ‘pemain’ mercun. Tetapi, juga mesti menjauhkan diri daripada sebarang tempat kanak-kanak bermain mercun. Jangan biarkan mereka menjadi 'penumpang' kecelakaan akibat perbuatan orang lain.

No comments:

Post a Comment