Friday, 6 March 2020

GOLONGAN MUNAFIK SUKA SALAHKAN ORANG LAIN


Iman tidak hanya pada pada mulut, tetapi perlu diterjemahkan melalui tindakan dan amalan. Orang yang mudah bersikap kufur daripada golongan munafik yang mengaku beriman hanya sebagai pemanis mulut, namun ternyata sebenarnya mereka tidak beriman dengan bersungguh-sungguh.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai rasul Allah! Janganlah engkau menanggung dukacita disebabkan orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran, iaitu dari orang yang berkata dengan mulutnya: Kami tetap beriman, padahal hatinya tidak beriman." (Surah al-Maaidah, ayat 41)

Rasulullah SAW diutuskan dengan membawa segala bentuk kebaikan untuk umatnya, berita gembira kepada orang mukmin, amaran bagi orang kafir. Rasulullah SAW tidak dituntut melainkan untuk menyampaikan risalah manakala hidayah itu adalah kurniaan dan pilihan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Kalau Kami mahu, tentulah Kami akan turunkan kepada mereka satu mukjizat dari langit, yang menjadikan mereka tunduk kepadanya." (Surah as-Syu'ara, ayat 4)

Orang munafik keimanan mereka hanya di bibir sahaja. Demikian juga orang Yahudi, suka mendengar berita dusta dan palsu. Mereka suka mendengar perkataan pendeta Yahudi yang sering berbuat dusta terhadap Allah SWT.

Nabi Nuh AS telah berdakwah kepada kaumnya, isteri dan anaknya selama 950 tahun, namun hanya sedikit yang beriman kepada Allah SWT. Ini bukanlah petanda Nabi Nuh gagal, tetapi bukti tidak ada yang dapat memberi hidayah kecuali dengan izin Allah SWT.

Apabila jiwa seseorang sering berkecimpung dalam perkara kebatilan, pembohongan dan kejahatan, suka menderhaka dan melakukan perbuatan merugikan, maka kesesatannya menjadi perwatakan.

Mereka yang hidup berpaksikan perkara batil tidak lagi mempunyai sebarang kemanisan untuk menerima kebenaran. Akibatnya, mereka tidak lagi dapat menerima keterangan yang benar.

Mereka yang munafik bukan sahaja ditolak amalan mereka oleh Allah, bahkan sesama manusia juga akan menolak mereka. Manusia tidak selamanya dapat ditipu apabila sudah banyak kerosakan yang dilakukan golongan munafik. 

Malangnya, golongan munafik tidak serik untuk terus memperdayakan orang lain dengan pelbagai cara yang difikirkan masih lagi dipercayai orang lain.

Al-Quran memberi manfaat kepada orang yang mempunyai hati yang hidup, mengetahui kebaikan di sebalik petunjuk, bimbingan-Nya serta mengikut bimbingan dan petunjuk itu.

Mereka ini umpama manusia yang apabila muncul kilatan cahaya kebenaran di hadapan, mereka akan segera menangkapnya sehingga hati dan sanubari dipenuhi cahaya kebenaran itu. Itulah orang yang dianugerahkan Allah SWT taufik dan hidayah, yang bakal memperoleh kemenangan serta kebahagiaan.

No comments:

Post a Comment