Sunday, 21 June 2020

CARA MUDAH REBUS BIJI DURIAN

Heboh harga durian mahal. Durian ditimbang sebiji yang turut melibatkan tangkai, kulit dan biji, selain isi yang dimakan. Kerana harganya mahal, maka ada orang bergurau kononnya kena makan sekali dengan kulit dan bijinya.

Memanglah, mana ada orang makan kulit durian, terutama bahagian luar yang keras dan tajam itu. Namun, kalau bahagian dalam yang lembut, boleh dimanfaatkan untuk mengurangkan sakit bisul. Bahagian yang lembut juga boleh digunakan untuk mengurangkan sakit perut.

Artikel ini ingin menceritakan tentang biji durian. Biji durian bukan sahaja boleh dijadikan benih untuk ditanam. Biji durian sebenarnya juga boleh dimakan.

Biji durian sebenarnya ‘racun’ yang memberi kesan kepada kesihatan. Ini jika dimakan mentah. Memang kebanyakan jenis biji buah adalah ‘racun’ ketika mentah.

Untuk makan biji durian ada dua cara. Pertamanya dengan membakarnya. Gunakan api kecil untuk mengelak ia hangus atau terbakar yang akhirnya tidak boleh dimakan lagi. Kaedahnya sama seperti membakar jenis makanan lain.

Cara kedua ialah dengan merebus. Caranya mudah sahaja. Masukkan di dalam periuk sehingga semua biji durian tenggelam. Masukkan sedikit garam.

Panaskan sehingga biji durian itu empuk. Angkat dan toskan.

Kulit luar biji durian sedikit tebal. Boleh guna gigi atau pisau untuk mengupas atau membuang kulit biji durian. Biji durian akan mengeluarkan 'gam' apabila dikupas.

Isi biji durian yang telah dikupas sedia untuk dimakan. Rasanya lemak dan sedikit melekit kerana 'gam' yang ada di dalamnya.

Biji durian yang dibuat pengat dan bubur pun boleh dimakan. Ia dikira sebagai biji durian rebus juga.

Semoga biji durian tidak lagi dibuang begitu sahaja. Berbaloi harga mahal apabila biji juga dimakan.

Selamat mencuba makan biji durian.

Makan biji cempedak

No comments:

Post a Comment