Wednesday 31 August 2022

FUNGSI PUTD MEMBERI BANTUAN UDARA DI MEDAN TEMPUR

 
Dahulu, jika melihat helikopter terbang di udara, tentu ia milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Helikopter Nuri amat sinonim dengan TUDM, selain jenis Alouette.

Namun, sekarang ini di negara kita telah terdapat banyak agensi atau jabatan turut memiliki pelbagai jenis helikopter untuk menjalankan pelbagai tugas. Pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia memiliki unit helikopter sendiri.

Dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), selain TUDM yang berfungsi mengoperasikan pasukan udara, Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM) dan Tendara Darat Malaysia (TDM) turut memiliki unit udara masing-masing,

Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) adalah satu unit di dalam Tentera Darat Malaysia yang berperanan memberikan bantuan udara di medan tempur kepada unit-unit Tentera Darat.

Sejarah PUTD bermula pada 1 Julai 1994 di Pangkalan Udara Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) di Kluang, Johor. Satu Pasukan Pelaksana (Project Team) telah ditubuhkan pada bulan Julai 1994 untuk menyelia perancangan dan perlaksanaan penubuhan suatu Pasukan Udara untuk Tentera Darat.

PUTD memulakan operasi penerbangan pada 11 Mac 1995 apabila 881 Skuadron PUTD ditubuhkan dengan rasminya. Perasmian dilakukan oleh Datuk Seri Mohammad Najib Tun Abdul Razak selaku Menteri Pertahanan ketika itu.

Ketika itu 881 Skn PUTD dilengkapi dengan 10 pesawat SA316B Alouette 111 yang dipindahmilik dari TUDM.

Sejak detik bersejarah itu, PUTD telah berkembang dengan pesat dan kini mempunyai dua buah pasukan iaitu Rejimen 881 PUTD dan Tim Nukleus Rejimen 882 PUTD.

PUTD juga telah mengoperasikan beberapa jenis pesawat iaitu Alloute MK III, A109 LOH serta S61A-4 Nuri TD. Satu lagi pesawat digunakan PUTD ialah MD530-G. MD530-G adalah helikopter pengintip tempur ringan (Light Scout/Attack Helicopter) buatan Amerika Syarikat.

Dengan penubuhan PUTD, sebahagian daripada Pangkalan Udara di Kluang telah diserahkan oleh TUDM kepada PUTD pada bulan Januari 1996. 881 Skuadron diisytiharkan beroperasi sepenuhnya pada 29 Mac 1997. 

Kini, keseluruhan Pangkalan Udara Kluang telah diserahkan kepada PUTD.

Peranan Pasukan Udara Tentera Darat termasuk:
- Memberi sokongan taktikal kepada formasi-formasi Tentera Darat
- Tinjauan medan tempur (light observation)
- Beroperasi sebagai sebahagian daripada satu pasukan gabungan senjata (combined arms team)
- Memberikan bantuan tembakan dari udara
- Sokongan antikereta kebal
- Bantuan tembakan dari udara secara langsung
- Menyerang sasaran-sasaran peluang
- Memberikan pengangkutan taktikal
- MEDEVAC/CASEVAV kecemasan
- Mencari dan menyelamat

PUTD diketuai seorang pengarah. Pengarah PUTD sekarang adalah Brig Jen Yazid Yusuf yang merupakan antara juruterbang terawal PUTD.

Sejarah berkaitan PUTD dalam bentuk dokumentasi dan peralatan kini diuruskan sebuah muzium khas. Penubuhan Muzium PUTD bertempat di Pangkalan Udara Kluang telah dirasmikan Brig Jen Yazid sempena Sambutan Ulang Tahun PUTD Ke-26 pada 11 Mac 2021.

No comments:

Post a Comment