Sunday 21 January 2018

Muhasabah Hari Ulang Tahun Kelahiran

Hari Ulang Tahun Kelahiran (HUTK) disambut gembira. Ada majlis meraikan HUTK dibuat bersama keluarga dan rakan-rakan. Ada hadiah diterima dan ucapan semoga panjang umur serta dimurahkan rezeki.

Kita biasanya mengatakan umur semakin meningkat atau bertambah setiap kali HUTK. Hakikatnya yang bertambah adalah bilangan tahun umur yang telah kita lalui.

Sedangkan, setiap detik masa hayat kita semakin berkurangan. Saat menuju detik kematian semakin hampir.

Selang setahun kita menyambut HUTK berbanding tahun sebelumnya, bermakna setahun sudah hayat kita berkurangan atau digunakan.

Maka itu, jangan terlalu bergembira sambut HUTK. Sebaliknya, kita kena insaf dan faham bahawa kita semakin kehilangan hayat.

HUTK perlu disambut gembira jika sepanjang setahun berlalu kita telah melakukan kebaikan. Sebaliknya bersedihlah jika setelah dihisab didapati lebih banyak melakukan dosa.

Dengan kata lain, HUTK penting disambut dengan melakukan muhasabah diri.  

No comments:

Post a Comment