Tuesday 10 January 2023

KEJOHANAN SEPAKAN PENALTI SATU BENTUK JUDI

 
Sesungguhnya, judi itu wujud dalam pelbagai bentuk. Perjudian tidak hanya apabila bermain daun terup, membeli nombor ekor atau aktiviti pertaruhan di kasino.
 
Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, definisi judi diertikan sebagai: “permainan dengan memakai wang dan lain-lain sebagai taruhan”.
 
Definisi ini tidak jauh dengan makna pertaruhan (qimar), seperti yang ditakrif oleh Imam al-Jurjani sebagai: “Setiap permainan yang mensyaratkan peserta yang kalah memberikan sesuatu (seperti duit) kepada peserta yang menang.
 
Perbuatan ini dilarang di dalam al-Quran. Allah SWT berfirman: “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya. (Surah al-Baqarah, ayat 219)
 
Imam al-Tabari dalam tafsirnya ayat ini menyatakan orang yang bertaruh juga dipanggil orang yang berjudi.
 
Sekarang ini satu aktiviti judi yang semakin merebak ialah kejohanan sepakan penalti. Memang, bukan semua kejohanan itu haram atau judi.
 
Sesuatu kejohanan itu akan dianggap sebagai judi jika yuran penyertaan itu dijadikan sebagai wang kemenangan.
 
Sekarang ini banyak kejohanan sepakan penalti menyediakan hadiah sehingga RM10000 untuk johan. Di mana wang hadiah itu diambil? Ia dikumpul daripada yuran penyertaan. Untuk menyertai pertandingan, pasukan perlu membayar yuran penyertaan sehingga melebihi RM100.
 
Bayaran yuran yang mahal bertujuan untuk membesarkan hadiah. Apabila besar hadiah, maka ia akan menarik lebih banyak penyertaan. Maka, itulah perjudian sebenarnya.
 
Kesatuan Fikah Sedunia dalam sidangnya ke 14 pada 11 hingga 16 Jan 2003 telah memutuskan bahawa semua permainan dan pertandingan yang hadiahnya diambil dari hasil kumpulan wang penyertaan peserta, hukumnya adalah haram hadiah tersebut. Ini kerana ia mengandungi unsur judi dan gharar atau ketidaktentuan.
 
Mengambil atau mengenakan yuran penyertaan adalah tidak salah atau harus. Yuran itu digunakan untuk pengurusan, sewa padang, bayaran pengadil dan lain-lain.

Gambar - Sekadar hiasan 

No comments:

Post a Comment