Monday 25 December 2023

APAKAH AGAMA ANUTAN PEMUDA ASHAB AL-KAHFI

 
Para ulama berbeza pandangan mengenai agama Ashab al-Kahfi yang kisahnya disebut dalam al-Quran. Pandangan pertama mengatakan bahawa mereka adalah beragama Yahudi kerana orang Yahudi pada zaman Nabi SAW bertanya kepada baginda mengenai Ashab al-Kahfi, tidak mungkin Yahudi bertanya kepada Nabi SAW jika Ashab al-Kahfi itu beragama Kristian. 
 
Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Ibn Kathir: “Telah disebutkan bahawa mereka mengikuti agama Nabi Isa yang merupakan anak kepada Maryam. Namun secara zahirnya mereka sebelum agama Nasrani, kerana jika mereka mengikuti agama Nasrani, para pendeta Yahudi tidak akan memberi perhatian untuk memelihara kisah mereka, kerana permusuhan mereka dengan Nasrani.”
 
Manakala menurut Syeikh Tahir Ibn Asyur berkemungkinan agama Yahudi dan Nasrani mengetahui tentang satu kaum yang dikenali dengan Ashab al-Kahfi dan mereka saling mendakwa bahawa kaum itu adalah dari kalangan orang soleh agama mereka. Walau bagaimanapun menurut kebanyakan ulama Ashab al-Kahfi adalah beragama Nasrani.
 
Imam Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan perkataan mujahid dengan katanya: “Syariat mereka iaitu Ashab al-Kahfi adalah mengikut syariat Nabi Isa menurut sebilangan ulama salaf.”
 
Ulama berbeza pandangan mengenai agama yang dianuti oleh pemuda Ashab al-Kahfi namun menurut pandangan yang kuat mereka adalah mengikuti agama Nasrani. Penggunaan istilah agama Kristian hanya muncul setelah Nabi Isa diangkat ke langit.
 
Manakala perkataan christ memiliki maksud yang sama dengan perkataan al-masih dalam bahasa hebrew yang bermaksud Rasul yang dipilih dan ia disebutkan dalam al-Quran.
 
Oleh itu mengatakan bahawa Ashab al-Kahfi adalah beragama Kristian tidak menjadi kesalahan. Namun harus dibezakan antara agama yang diubah dan ditokok tambah dari ajaran tauhid yang sebenar dengan agama tauhid yang dibawa oleh Nabi Isa. Dalam pegangan akidah Islam, semua agama yang datang sebelum Islam telah dimansukhkan dengan kedatangan Islam.
 
Rujukan  

No comments:

Post a Comment