Tuesday, 6 February 2018

Fungsi JAKIM menegakkan syiar Islam.


Fungsi JAKIM menegakkan syiar Islam. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membantu Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama bagi Persekutuan dalam memelihara pada setiap masa agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di Malaysia.

Di peringkat negeri, JAKIM berkerjasama bersama dengan Sultan di negeri-negeri yang merupakan ketua agama di negeri masing-masing  

Sebagai sebuah jabatan di peringkat Persekutuan, JAKIM terbukti telah berperanan dengan baik, khususnya menjalankan fungsi merapatkan hubungan Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri (JAIN) bagi menyelaraskan urusan agama.

Pastinya hubungan yang rapat dengan MAIN dan JAIN selaku pihak berkuasa agama Negeri-Negeri adalah bagi tujuan penyelarasan hal ehwal Islam antara Negeri dan Persekutuan.

Kewujudan JAKIM dalam sejarah panjang pentadbiran negara yang bermula sebagai sebuah unit agama di JPM, sememangnya berperanan besar menegakkan syiar Islam dan dilihat telah berjaya mengekang fahaman dan ajaran sesat selain telah berjaya memperkasa kefahaman umat Islam berlandaskan wasatiyyah.

Dalam pada masa sama, JAKIM juga telah berjaya menyelaraskan hal ehwal Islam di Malaysia antaranya dalam bidang pendidikan Islam, penyelarasan pensijilan Halal, perkembangan dasar serta program dakwah serta lain-lain bidang yang melibatkan kepentingan umat Islam.

Selain itu, kita juga lihat bahawa JAKIM telah berjaya menyerlahkan lagi imej Malaysia di pentas dunia dalam bidang Al Quran seperti penganjuran Majlis Tilawah Al Quran pada setiap tahun dan adanya institusi Darul Quran JAKIM.

Dalam konteks ini, sewajarnya Kerajaan terus memberikan dan menambah peruntukan bagi JAKIM memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan kerana penubuhan JAKIM adalah menepati semangat Perkara 3, Perkara 12(2), Perkara 121(1A) dan Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan.

No comments:

Post a Comment