Saturday, 3 February 2018

DI SEBALIK KISAH SI TANGGANG

Si Talang dan Si Deruma merupakan bapa dan ibu kepada seorang anak lelaki yang bernama Si Tanggang. Mereka hidup sebagai keluarga nelayan di tepi pantai. Kehidupan mereka amatlah miskin.

Si Tanggang merupakan seorang kanak-kanak yang bercita-cita tinggi. Dia selalu berkhayal untuk menjadi kaya dan terkenal. Akan tetapi, keadaan hidupnya yang serba kekurangan dan ketiadaan peluang menjadi penghalang kepada cita-citanya.

Pada suatu hari, ketika sudah meningkat usia, Si Tanggang terlihat sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai yang berhampiran dengan rumahnya.

Si Tanggang pun pergi mencuba nasib, dia berjumpa dengan nakhoda kapal itu dan meminta untuk dijadikan anak kapalnya. Nakhoda kapal itu terus bersetuju kerana telah melihat kecekapan Si Tanggang bersampan dan bekerja.

Walaupun Si Talang dan Si Deruma amat keberatan untuk melepaskan Si Tanggang belayar mengikut kapal nakhoda itu, mereka terpaksa mengalah. Si Tanggang berjanji akan kembali ke kampung setelah menjadi kaya.

Si Tanggang melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan oleh Nakhoda. Nakhoda amat suka dengannya kerana dia rajin bekerja.

Lalu, Si Tanggang pun diambil sebagai anak angkat. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil Nakhoda Tanggang.

Si Tanggang memiliki kecekapan dalam berniaga. Dia menjadi kaya raya dan namanya menjadi terkenal.

Namanya sampai ke telinga Sultan dan dijemput ke istana. Tidak lama kemudian, Sultan mengahwini puterinya dengan Si Tanggang. Si Tanggang membawa isterinya berlayar ke banyak tempat di merata negeri.

Pada suatu hari, kapal Si Tanggang berlabuh di muara sungai kampung asal-usulnya. Orang kampung mengetahui nakhoda kapal itu Si Tanggang. Mereka pun memberitahu kepada orang tuanya.

Gembira dalam hati, Si Talang dan Si Deruma pun pergilah berkayuh sampan menuju ke kapal Nakhoda Tanggang. Apabila tiba di kapal, seorang anak kapal melarang mereka naik.

Seketika kemudian, Si Tanggang muncul dengan isterinya. Si Tanggang malu melihat keadaan ibu dan bapanya yang daif di hadapan isterinya. Si Talang dan Si Deruma memanggil-manggil Si Tanggang, akan tetapi dia berpura-pura tidak kenal mereka.

Isterinya bertanya mengenai mereka, tetapi dia mengatakan bahawa ibu dan bapanya sudah tiada.

Si Tanggang menghalau ibunya dengan biadap. Si Talang dan Si Deruma berdayung ke tepi dengan perasaan sedih dan kecewa.

Apabila tiba di daratan, Si Deruma memandang ke langit dan memengangkat kedua-dua belah tangannya, kemudian berseru, "Oh, Tuhan! Tunjukkanlah kepada Si Tanggang bahawa akulah ibu kandungnya."

Tiba-tiba petir berdentum dan angin bertiup kencang. Kapal Si Tanggang terumbang-ambing akibat air yang bergelora.

Ketika itulah, Si Tanggang berasa kesal. Dia sedar Tuhan telah memperkenankan doa ibunya. Dia akan menerima balasannya kerana telah menderhaka.

Akhirnya, dia berteriak kepada ibunya supaya diampun. Akan tetapi, penyesalannya sudah tidak berguna lagi. Kapalnya pecah akibat dipukul oleh ombak yang kuat.

Apabila ribut reda, Si Tanggang, isterinya, kapalnya, dan semua anak kapalnya telah bertukar menjadi batu.

Itu kisah yang sering diceritakan dari satu generasi kepada generasi seterusnya. Di satu sudut, ia memang ada pengajaran iaitu jangan lupa kepada ibu bapa apabila telah kaya raya.

Namun, tidakkah itu satu gambaran tentang Melayu yang mudah lupa diri?

Bagaimana jika kita ubah sedikit plot cerita itu? Setelah menjadi kaya raya dan berkahwin dengan puteri raja, Si Tanggang teringat janjinya kepada kedua ibu bapa yang dia akan pulang ke kampung setelah kaya raya.

Setiba di kampungnya, Si Tanggang telah melihat kampungnya telah telah ditinggalkan berpuluh-puluh tahun banyak mengalami perubahan. Tapak rumahnya telah menjadi kawasan perumahan golongan bangsawan. 

Si Tanggang gagal mengesan ibu bapanya. Lalu dia memberitahu orang ramai tentang hasratnya mencari kedua-dua ibu bapanya. Mendengar pengumuman itu, maka berduyung-duyung orang datang mengaku mereka sebagai ibu bapa Si Tanggang.

Si Tanggang keliru. Memandangkan telah lama berpisah dengan kedua ibu bapanya, dia tidak dapat mengecam dengan betul-betul ibu bapanya.

Ibu bapa palsu yang kecewa itu mula menyumpah kepada Si Tanggang sebagai anak durhaka. Sebenarnya masing-masing kecewa kerana tidak tidak berpeluang mendapat anak ekspres yang kaya raya.

Terikut-ikut dengan sikap ibu bapa palsu itu, ibu Si Tanggang turut mengucapkan sumpahan terhadap anaknya biarpun berat hati.

Lalu, akibat sumpahan itu, Si Tanggang bersama isterinya yang cantik, serta kapal dan seluruh kelasi bersama bahan berharga di dalamnya bertukar menjadi batu.

Plot cerita itu lebih menarik untuk dikongsikan. Pengajarannya, ibu bapa jangan mudah sumpah dan mendoakan sesuatu yang buruk terhadap anak mereka. Doa ibu amat makbul. Doakan sesuatu yang baik kepada anak-anak biarpun anak telah melakukan sesuatu yang mengguris hati.

Dengan plot cerita itu juga nasib Si Tanggang akan terbela. Jika Si Tanggang malu mengaku ibu bapanya, mengapa dia bali ke kampung halamannya?

No comments:

Post a Comment