Menjadi
pemimpin satu amanah yang besar. Jadi, dalam konteks di negara yang mengamalkan
demokrasi, tugas pengundi menentukan siapa layak menjadi pemimpin. Kegagalan pemimpin
menjalankan tanggungjawab adalah berpunca kegagalan pengundi memilih pemimpin yang
baik.
Pemilihan
tidak boleh didasarkan atas sentimen, emosi dan khabar angin sebaliknya
berasaskan fakta sebenar.
Oleh
sebab maslahah dipegang besar, maka perlu dipilih pemimpin beramanah, berakhlak
dan bertatasusila luhur, selain memiliki visi dan matlamat jelas serta utuh
dengan prinsip perjuangan.
Orang
yang tidak beramanah dan tidak mahir, tetapi tetap mahu menggalas amanah itu
pasti mempunyai niat serta keinginan tertentu.
Satu
keperluan pengundi memilih pemimpin betul pada setiap peringkat untuk setiap
bidang supaya amanah dipegang dilaksanakan baik.
Dalam
hal ini Islam mempunyai kriteria menentukan dan memilih pemimpin. Misalnya
perkataan ulil amr dalam surah al-Nisa’ ayat 29: “Wahai orang beriman,
taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya dan uli al-amri di antara kamu,” yang
ditafsirkan ulama sebagai pemimpin tertinggi dalam sesebuah negara.
Kehidupan
manusia pada zaman ini semakin mencabar. Misalnya, perkembangan teknologi,
khususnya media sosial turut mampu mempengaruhi persepsi manusia.
Penilaian
atau perspektif manusia dibuat cukup dengan satu gambar atau beberapa minit
video lalu ‘hukuman’ dijatuhkan.
Zaman
ini maklumat beredar pantas dan hampir semua orang mahu membincangkan setiap
isu walaupun mereka tiada keahlian.
Akhirnya
ramai menjadi ‘pakar segera’ atau instant scholar. Apabila datang sesuatu
isu, maka mereka beramai-ramai meluahkan pelbagai pandangan di media sosial
meskipun ia lebih bersifat sentimen dan emosi serta bukan atas dasar ilmu.
Imam
al-Ghazali mengkategorikan manusia kepada empat kumpulan. Kumpulan pertama,
golongan yang sedar mereka tahu, kumpulan ini wajar dipuji kerana keilmuannya.
Kumpulan
kedua tidak menyedari mereka tahu hingga perlu disedarkan dengan keilmuan
mereka. Kumpulan ketiga, golongan maklum mereka tidak tahu, sekali gus
mempunyai kesedaran untuk menuntut ilmu.
Bagaimanapun,
kumpulan keempat tidak sedar yang mereka tidak tahu. Kelompok itu boleh
dikatakan ramai pada masa kini, iaitu mereka bukan sekadar tidak tahu dengan
kejahilan sendiri, tetapi berbangga dengan kejahilan.
Iistilah
bodoh sombong sesuai dinamakan untuk kumpulan ini. Justeru, ramai mahu mengurus
urusan umum tanpa sedar mereka tiada keahlian dalam urusan berkenaan.
No comments:
Post a Comment