Friday, 17 January 2020

WAJIB CARI REZEKI SELEPAS IBADAT KHUSUS

 Islam meletakkan usaha mencari rezeki sebagai satu ibadat jika dilakukan mengikut ditetapkan syariat. Niat mencari rezeki halal untuk keperluan diri dan ahli keluarga perlu diusahakan apabila selesai melaksanakan ibadat khusus.    

Sembahyang menjadi tonggak keimanan yang perlu dilaksanakan setiap muslim untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Namun, umat Islam tidak perlu bersembahyang sepanjang masa. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Jumaat, ayat 10 bermaksud: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertaburanlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah dari apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan) agar kamu berjaya di dunia dan akhirat.”

Ironinya, umat Islam tidak memahami konsep bekerja sebagai ibadat. Mereka bekerja semata untuk memenuhi keperluan hidup. Justeru, ada yang terjebak dalam perkara ditegah oleh agama seperti terlibat rasuah, riba, judi dan curi tulang. 

Mencari rezeki halal adalah wajib. Sabda Rasulullah SAW: “Mencari yang halal adalah suatu kewajipan ke atas setiap Muslim”. (Hadis riwayat Tabrani)

Alangkah rugi sesiapa tidak berminat menceri rezeki atas alasan tidak mahu mengejar dunia dan menyebabkan tertanggu beribadat. Hakikatnya, sesiapa mencari rezeki mendapat balasan yang besar, tambah lagi jika rezeki atau kekayaan itu dibelanjakan untuk kebaikan.       

Setiap individu muslim perlu melipatgandakan usaha mencari rezeki sepertimana perintah yang banyak dinyatakan dalam al-Quran dan hadis yang membuktikan ia wajib dilakukan dan membawa kedudukan seseorang lebih mulia di sisi Allah SWT. 

Sesungguhnya nikmat yang Allah sediakan tidak terhitung. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya tidak mampulah kamu menghintungnya.” (Surah Ibrahim, ayat 34).

Individu Islam yang faham tuntutan mencari rezeki akan berlumba-lumba mencari rezeki kerana kurniaan Allah SWT  kepada hamba-Nya tidak ada batasnya. Mereka mendapat kebaikan dan kesenangan di dunia, serta mendapat pahala sebagai bekalan hidup di akhirat.   

Untuk mendapat hasil yang baik hendaklah dilakukan dengan tekun dan istiqamah. Islam memberi pengiktirafan tinggi kepada sesiapa melakukan pekerjaan dengan bersungguh-sungguh.   

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah amat mengasihi seseorang yang apabila melakukan satu kerja, dilakukan dengan penuh tekun dan sebaik mungkin.” (Hadis riwayat Baihaqi)

No comments:

Post a Comment