Saturday, 14 March 2020

BEZA LOMPAT TIKAM KELANTAN DENGAN TERENGGANU

Nama kuih lompat tikam sinonim dengan rakyat Kelantan dan Terenganu. Namun, sebenarnya lompat tikam di kedua-dua negeri itu sedikit berbeza. Lompat tikam Kelantan ada pulut merah untuk dimakan bersama, sedangkan lompat tikam Terengganu tiada pulut merah.

Memandangkan cara membuatnya sama, untuk jadi lompat tikam Kelantan atau Terengganu hanya perlu tambah atau buang pulut merah sahaja.

Pun begitu, lompat tikam Terengganu lebih berbentuk seperti kuih lapis yang dimakan dengan nise kerek cair. Kedua-dua menu itu menampilkan rasa manis dari nise kerek atau gula melaka.

Namun, ada sedikit kelainan rasa manis itu tidak sebati dengan kuih, sebaliknya disediakan berasingan. Maknanya, setiap orang boleh tentukan sendiri kadar manis yang diingini.

Kuih lompat tikam Kelantan terdiri empat jenis bahagian yang disediakan secara berasingan. Bahagian atau bahan yang dimaksudkan ialah kuah santan pekat dimasak, air gula melaka atau nise kerek, pulut dan lapisan hijau (bahan utama tepung beras dan air daun pandan yang menyebabkan warna hijau).

Ketika dihidangkan, keempat-empat bahan ini diletakan dalam bekas berasingan atau diikat di dalam plastik untuk tujuan jualan. Kalaupun diletakkan sekali (tetapi tidak bercampur sepenuhnya) ialah pulut dan lapisan hijau.

Ketika hendak dimakan atau diletakkan di pinggan masing-masing baru bahan-bahan itu dicampurkan. Jadi, setiap orang boleh menentukan jumlah yang ingin dicampurkan, terutama kuantiti manisan dan kuah santan pekat.

Ada yang hanya mengambil pulut yang dicampur dengan sedikit manisan dan santan pekat. Ada juga yang hanya lebih tumpukan kepada lapisan hijau. Ikut macam-macam selera masing-masing.

Lompat tikam Terengganu lebih seperti kuih lapis iaitu lapisan santan pekat (dicampur dengan tepung beras) dan lapisan warna hijau. Untuk menjadikan dua lapis terbentuk dipotong 'tegap', lapisan santan lompat tikam Terengganu lebih pekat dengan cara dicampur dengan lebih banyak tepung beras berbanding resipi Kelantan.

No comments:

Post a Comment