Saturday, 14 March 2020

KUIH LOMPAT TIKAM KELANTAN

Nama kuih lompat tikam sinonim dengan rakyat Kelantan dan negeri Pantai Timur. Seperti kebanyakan kuih di Kelantan, lompat tikam juga antara jenis kuih yang dikategori sebagai manis. 

Namun, ada sedikit kelainan rasa manis itu tidak sebati dengan kuih, sebaliknya disediakan berasingan. Maknanya, setiap orang boleh tentukan sendiri kadar manis yang diingini.

Kuih lompat tikam terdiri empat jenis bahagian yang disediakan secara berasingan. 

Bahagian atau bahan yang dimaksudkan ialah kuah santan pekat dimasak, air gula melaka atau nise kerek, pulut dan lapisan hijau (bahan utama tepung beras dan air daun pandan yang menyebabkan warna hijau).

Ketika dihidangkan, keempat-empat bahan ini diletakan dalam bekas berasingan atau diikat di dalam plastik untuk tujuan jualan. Kalaupun diletakkan sekali (tetapi tidak bercampur sepenuhnya) ialah pulut dan lapisan hijau.

Ketika hendak dimakan atau diletakkan di pinggan masing-masing baru bahan-bahan itu dicampurkan. Jadi, setiap orang boleh menentukan jumlah yang ingin dicampurkan, terutama kuantiti manisan dan kuah santan pekat.

Ada yang hanya mengambil pulut yang dicampur dengan sedikit manisan dan santan pekat. Ada juga yang hanya lebih tumpukan kepada lapisan hijau. Ikut macam-macam selera masing-masing.

Kuih lompat tikam kini semakin meluas dijual hampir di seluruh negeri yang dihasilkan oleh rakyat asal Kelantan dan Terengganu. Namun ada perbezaan antara lompat tikam Kelantan dengan lompat tikam Terengganu.

Lompat tikam Kelantan (gambar atas), sedangkan lompat tikam Terengganu (gambar bawah) lebih seperti kuih lapis iaitu lapisan santan pekat (dicampur dengan tepung beras) dan lapisan warna hijau. 

Namun, hakikatnya kedua-duanya sama dengan lompat tikam Kelantan. Manisan digunakan adalah sama.

Satu perbezaan ketara ialah lompat tikam Terengganu tidak disertakan dengan pulut merah.

No comments:

Post a Comment