Sunday 22 March 2020

PUNCA PAS KELUAR BN 1977

Parti Islam Se-Malaysia (Pas) mempunyai pengalaman menyertai Barisan Nasional (BN) semasa Perdana Menteri Tun Abdul Razak pada tahun 1972. UMNO dan Pas serta MCA dan MIC serta beberapa parti lain membentuk gabungan BN sebagai menggantikan Parti Perikatan yang asalnya dianggotai UMNO, MCA dan MIC sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi.

Pembentukan BN adalah rentetan Tragedi 13 Mei 1969 yang mencetuskan huru hara di dalam negara. Pembentukan BN diharap dapat meredakan kemelut politik negara pada masa itu.

Keputusan penyertaan Pas dalam BN dibuat oleh pemimpin tertinggi Pas Pusat seperti Datuk Mohd Asri Muda dan Datuk Hassan Adli yang ketika itu masing-masing menjadi Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Pas.

Sedangkan, pemimpin di peringkat negeri dilihat tidak begitu setuju dengan penyertaan Pas ke dalam BN. Keadaan ini lebih ketara selepas Pilihanraya Umum Tahun 1974 apabila Pas terpaksa berkongsi dengan UMNO dan MCA mentadbir negeri Kelantan.

Pemimpin Pas Kelantan mendakwa jikapun tanpa penyertaan dalam BN, Pas boleh mentadbir sendiri Kelantan kerana mendapat majoriti besar. Kemelut ini menjadi semakin ketara apabila Datuk Muhammad Nasir yang dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan dianggap sebagai proksi kepada UMNO. Majoriti pemimpin Pas Kelantan lebih yakin kepada Datuk Nik Aziz Nik Mat dilantik sebagai menteri besar.

Kemelut dalaman Pas itu sampai kemuncak apabila kepimpinan tertinggi Pas pusat telah mengadakan mesyuarat tergempar dan satu keputusan telah diambil iaitu usul atau cadangan agar Datuk Muhammad Nasir melepaskan jawatan sebagai menteri besar.

Datuk Dr Haron Din dalam mStar 5 Jun 2011 yang menyebutkan bahawa "Kepimpinan bermesyuarat tergempar dan membawa satu usul ataupun cadangan untuk memecat Menteri Besar Kelantan ketika itu... cadangan itu ditentang oleh sebahagian pemimpin iaitu Timbalan Presiden, Naib Presiden dan saya sendiri. "Kami bergaduh dalam mesyuarat itu dan akhirnya jawatankuasa menerima pemecatan Menteri Besar Kelantan itu. Sebut terima saja keputusan itu bangun Ustaz Ali Taib mengisytiharkan melepaskan kesemua jawatannya,".

Usul tersebut tidak diterima oleh Datuk Muhammad Nasir apabila tidak mahu melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan yang disandang olehnya.

Keengganan Datuk Muhammad Nasir menambah parah kemelut itu apabila pemimpin Pas peringkat negeri memberi tekanan kepadanya. Pada masa sama, di peringkat akar umbi Pas dan rakyat Kelantan secara umumnya menyokong Datuk Muhammad.

Keadaan ini menyebabkan suasana tegang apabila rakyat keluar berkumpul dan berarak di Kota Bharu sebagai tanda sokongan kepada Datuk Muhammad Nasir dan sebilangan kecil yang lain memintanya agar melepaskan jawatan. Pertembungan dua kumpulan ini telah mencetuskan huru hara di Kota Bharu.

Kemuncak krisis menyaksikan pada 15 Oktober 1977, DUN Kelantan telah meluluskan usul tidak percaya kepada Datuk Muhamed Nasir selaku menteri besar. Dalam usul tidak percaya itu, 20 ADUN PAS menyokong manakala 13 ADUN UMNO bertindak keluar dewan.

Sebagai protes keputusan DUN itu, rakyat membuat perhimpunan besar-besaran sehingga menimbulkan kekacauan dan keadaan tidak selamat.

Pada 8 November 1977, Parlimen Persekutuan meluluskan rang undang-undang darurat Kelantan yang meletakkan Kelantan ditadbir secara terus oleh Kerajaan Pusat.

Mulai tarikh tersebut, Pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan diletakan di bawah kuasa seorang pegawai persekutuan. Perdana Menteri telah melantik Hashim bin Aman selaku pengarah MAGERAN. Pada masa sama Datuk Muhamed bin Nasir terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.

Akibat kemelut itu, mesyuarat khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional diadakan pada 13 Disember telah mengambil keputusan mengeluarkan Pas dari BN.

Untuk meleraikan kemelut politik di Kelantan dan mengembalikan kuasa kepada rakyat, satu PRN Kelantan diadakan pada 11 Mac 1978.

Datuk Mohammad Nasir yang telah meninggalkan PAS menubuh BERJASA untuk menyertai PRN. Sokongan kepada Datuk Mohammad Nasir begitu kuat sehingga BERJASA memenangi 11 kerusi. PAS memenangi hanya 2 kerusi. BN menang 23 kerusi.  

Dengan kekalahan itu menyaksikan PAS tersingkir dari tampuk kuasa setelah 20 tahun memerintah Kelantan.

Biarpun BN mampu menubuhkan kerajaan Kelantan secara bersendirian, BN mengambil keputusan menubuhkan kerajaan campuran dengan parti BERJASA. Tan Sri Mohamed Yaacob atau lebih popular dengan panggilan ‘Ayah Mat’ dari UMNO telah dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan yang baru.

Datuk Haji Mohamed bin Nasir pula telah dilantik sebagai senator dan menjadi menteri dalam Kerajaan Persekutuan.

Kesan dari krisis itu, Datuk Asri Muda telah gagal mempertahankan jawatannya sebagai Yang Dipertua PAS. Beliau kemudian keluar dari Pas dan menubuhkan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim). Setelah gagal memperolehi sebarang kejayaan menerusi Hamim, beliau akhirnya menyertai UMNO pada tahun 1988.

No comments:

Post a Comment