Islam
mengharuskan berdusta semata-mata untuk tujuan kebaikan. Perkara ini dijelaskan
dalam sabda baginda yang bermaksud: “Tidaklah termasuk pendusta, orang yang
berusaha mendamaikan perselisihan antara manusia, dan menghasilkan yang baik.”
(Hadis riwayat Muslim dan Bukhari).
Dalam
hadis diriwayatkan Muslim dari Ummu Kaltsum menjelaskan beliau (Kaltsum) belum
pernah mendengar adanya keringanan (diharuskan) dalam hal pendustaan biarpun
sedikitpun, kecuali dalam tiga perkara iaitu dalam hal peperangan, mewujudkan
perdamaian dalam masyarakat dan hubungan rumahtangga untuk mengekalkan
kebahagiaan.
Pembohongan
dalam peperangan dibenarkan kerana ia strategi untuk memenangi peperangan. Jika
melakukan apa yang benar dalam peperangan, maka mudahlah dikalahkan oleh musuh.
Peperangan itu sendiri adalah satu tipu daya dan menggunakan kekerasan mengikut
batasan yang dibenarkan. Rasulullah adalah
panglima perang yang amat bijak merancang strategi perang, termasuklah
melakukan tipu muslihat.
Situasi
diharuskan berbohong berkaitan kepentingan masyarakat ialah menyatakan sesuatu
yang difikirkan akan mendatangkan kebaikan bersama. Kita diharuskan berbohong
sebagai mengelak berlaku perkara tidak diingini. Namun berhati-hati jangan pula
kita menjadi mangsa kepada situasi berkenaan. Jika diketahui apa dinyatakan itu
bohong kesannya akan menikam diri sendiri.
Sesungguhnya
mendamaikan dua pihak bertelingkah merupakan satu kejayaan besar. Firman Allah
bermaksud: “Damaikanlah di antara saudara-saudaramu dan bertakwalah kepada
Allah.” (Surah al-Hujurat, ayat 10).
Untuk
mengelak persengketaan dalam rumahtangga, diharuskan wujud pembohongan. Namun,
ia bukan bermakna diharuskan sengaja mencipta pembohongan untuk melakukan
sesuatu. Pembohongan yang sengaja diada-adakan sekadar untuk mencari kebebasan
melakukan perkara ditegah adalah diharamkan.
Ramai
pasangan mencipta pembohongan bagi membolehkan melakukan perbuatan tidak
disukai pasangan masing-masing. Perbuatan itu amat tidak bermoral dan lambat
laun akan diketahui juga. Ia secara tidak langsung akan mewujudkan keadaan
saling tidak mempercayai dalam hubungan rumah tangga.
Pembohongan
hanya diharuskan apabila terlanjur melakukan sesuatu yang difikirkan
mencetuskan sengketa rumahtangga, maka diharuskan menutup apa telah dilakukan
itu seolah-olah tidak berlaku.
Pembohongan
dalam rumahtangga juga diharuskan untuk memulihkan hubungan yang retak. Hubungan
suami isteri mudah didorong perasaan cemburu dan curiga. Justeru, banyak kes
keretakan hubungan rumahtangga sukar dipulihkan, melainkan dilakukan secara
tipu daya. Ada rumahtangga berakhir dengan perceraian berpunca perkara
kecil.
Keburukan
utama berbohong ialah putusnya hubungan sesama manusia. Orang gemar menipu
tidak disukai orang lain. Keyakinan terhadap orang gemar menipu terhakis dan
secara langsung hilang nilai hubungan kemanusiaan yang berasaskan kepada
keikhlasan, kerjasama dan ketakwaan. Tidak ada siapa rela dirinya dibohongi
yang secara tidak langsung menjadi lambang kebodohan dirinya.
Di
akhirat, orang berbohong mendapat penyiksaan di dalam neraka. Sabda Rasulullah
bermaksud: “Tiada melangkah kedua kaki saksi palsu pada hari kiamat nanti,
sampai api neraka membakarnya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Hakim).
Secara
tegasnya, semua orang beriman ditegah berbohong biarpun dalam perkara yang
kecil. Jika sikap berbohong selalu diamalkan, lama kelamaan ia akan menjadi
satu kebiasaan yang tidak ada lagi bezanya dalam perkara yang kecil maupun
besar.
Malah, kebiasaan berbohong akan menyebabkan seseorang terdorong
melakukan perbuatan buruk yang lain. Pepatah
Melayu ada mengatakan, siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong
lama-lama jadi pencuri.
Tidak
ada istilah bohong sunat, melainkan ia hanya diharuskan untuk tujuan muslihat
yang penting untuk kebaikan. Kehidupan manusia akan lebih sempurna dan aman
jika tidak ada pembohongan. Biasakan diri bercakap perkara yang benar biarpun
ia sesuatu yang berat untuk diucapkan.
No comments:
Post a Comment