Taman
Laut Tunku Abdul Rahman Kota Kinabalu Sabah mengandungi lima gugusan pulau yang
terletak berhampiran antara satu sama lain. Pulau tersebut ialah Pulau Sapi, Pulau
Manukan, Pulau Mamutik, Pulau Gaya dan Pulau Sulug, masing-masing tidak kurang
indahnya dengan pasir memutih serta laut jernih.
Taman
Tunku Abdul Rahman meliputi dengan keluasan keseluruhan 4,929 hektar serta
jaraknya dari Kota Kinabalu antara tiga hingga lapan kilometer.
Pulau-pulau
ini merupakan tempat perlindungan pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan termasuk
sejenis burung yang paling ganjil iaitu Burung Tambun atau Megapode yang
kelihatan seakan-akan seekor ayam tetapi mempunyai kaki yang besar dan
mengeluarkan bunyi seperti kucing.
Syarikat
Borneo Utara British pada tahun 1882 membuka pusat perniagaan di Pulau Gaya sebelum
bandar raya Kota Kinabalu dibuka secara rasminya dan diisytiharkan sebagai ibu negeri
Sabah.
Pada
1974, Pulau Gaya dan Sapi diwartakan sebagai Taman Laut Tunku Abdul Rahman dan
diikuti Pulau Manukan, Mamutik dan Sulug pada 1979.
Pengunjung
berpeluang melakukan aktiviti snorkeling dan aktiviti di pantai seperti
berkelah sambil menikmati pemandangan yang indah. Para pelancong juga berpeluang
mengembara merentasi hutan melalui denai-denai kecil di Pulau Gaya dan Sapi.
Antara
tarikan utama di Pulau Sapi pada waktu siang ialah aktiviti pantai seperti
snorkeling, selain produk terbaiknya iaitu 'zipline flying fox' atau bergayut
dan meluncur daripada Pulau Gaya ke Pulau Sapi.
Bergayut
sambil meluncur sejauh kira-kira 250 meter itu pasti memberi pengalaman hebat
kepada pengunjung yang mencubanya.
Zipline
flying fox di Pulau Sapi dikatakan antara yang terpanjang di dunia bagi
kategori dari pulau ke pulau. Alang-alang sudah sampai ke Pulau Sapi, jangan
lepaskan peluang untuk mencuba aktiviti lasak mendebarkan itu.
Jangan
bimbing untuk mencubanya. Perasaan takut akan hilang dalam beberapa saat
apabila melihat pemandangan indah sambil meluncur selama kira-kira 40 saat.
Untuk ke sini pengunjung boleh menempah atau menyewa bot dari Terminal Feri
yang terletak di Jesselton Point Waterfront di pusat bandar Kota Kinabal dan
berhampiran dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Perjalanan mengambil masa
kira-kira 20 minit.
No comments:
Post a Comment