Thursday, 12 May 2022

SEBAB ANAK BURUNG MATI KELAPARAN

 
Anak burung menetas dari telur. Terdapat dua kategori jenis anak burung. Pertama, sifatnya ketika menetas keadaan mata tertutup, tanpa bulu dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan induk untuk terus membesar sehingga boleh berdikari.

Manakala kedua, adalah yang ketika menetas sudah terbuka mata, ada bulu halus meliputi badan, sudah boleh berjalan dan mencari makan sendiri dengan bantuan minimal induk.

Kebanyakan jenis burung dalam kategori pertama. Anak baharu menetas memerlukan bantuan sepenuhnya daripada induk, terutama sumber makanan.

Ibu atau bapa akan terbang mencari makan yang sesuai untuk anak. Dibawa pulang sama ada digigit di paruh atau ada yang menelan dalam sistem penghadaman sebelum dikeluarkan semula untuk dimakan oleh anak.

Ketika anak masih kecil adalah cabaran terbesar tugas ibu dan bapa burung. Ia perlu mencari makan bukan sahaja untuk dirinya, bahkan terlihat lebih penting untuk anak-anaknya.

Kalau pada kebiasannya burung akan keluar pagi dan balik semula ke sarang pada waktu petang, rutin itu berubah apabila ada anak menanti untuk makan di sarang.

Ibu atau bapa burung akan berulang alik ke sarang membawa makanan sehinggalah anaknya kenyang.

Sungguh malang apabila ada ibu atau bapa burung yang mati disebabkan pemangsa lain, termasuklah tindakan manusia menangkapnya, maka anak burung yang belum boleh berdikari mencari makan sendiri akan mati kelaparan.

No comments:

Post a Comment