Wednesday, 4 May 2022

CARA SAMBUT 1 SYAWAL

 
Nabi Muhammad SAW menyambut Aidilfitri dengan penuh kesyukuran lantaran nikmat dikurniakan Allah. Walaupun diriwayatkan Baginda bersedih dengan pemergian Ramadan, Aidilfitri tetap disambut penuh suasana ceria dan gembira.

Aidilfitri anugerah Allah SWT kepada umat Islam yang bersungguh menunaikan ibadat puasa sepanjang Ramadan dengan penuh keikhlasan. Ia juga tanda kemenangan menahan segala desakan nafsu mazmumah selama sebulan berpuasa.

Rasulullah SAW pada pagi Aidilfitri memakai pakaian yang terbaik dan cantik, malah Baginda sendiri menyaran dan menggalakkan sahabatnya supaya berpakaian cantik.

Imam Ibn Qayyim ada menyebut pada Aidilfitri, Nabi SAW memakai pakaiannya yang paling cantik. Baginda mempunyai pakaian khas yang biasanya dipakai pada dua hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dan pada Jumaat.

Termasuk dalam sunnah Baginda SAW ialah menjamah sedikit makanan sebelum keluar untuk solat sunat Aidilfitri. Makanan pilihan Baginda ialah tamar.

Seorang sahabat iaitu Anas bin Malik pernah menyebut: "Adalah Nabi SAW tidak akan keluar untuk solat Aidilfitri sehingga Baginda terlebih dulu memakan tamar dengan bilangan ganjil, tiga, lima atau tujuh biji."

Makan pada pagi Aidilfitri adalah satu pernyataan daripada Baginda SAW bahawa haram berpuasa pada hari itu. Mesej daripada bersegera makan dan bersolat sunat untuk mengelakkan pemikiran orang Islam daripada memikirkan mengenai puasa atau halangan makan yang biasanya dilakukan pada Ramadan.

Aidilfitri ialah satu perayaan kegembiraan dan dilarang berpuasa pada hari itu. Sesiapa yang berpuasa dianggap sebagai menolak pelawaan dan pemberian Allah kepada hamba-Nya. Orang Islam itu dianggap tetamu Allah pada hari yang penuh kemuliaan itu.

Ulama Islam bersepakat dalam menyatakan haramnya berpuasa pada hari pertama Aidilfitri sama ada puasa wajib (nazar atau untuk menunaikan kafarah), apatah lagi untuk berpuasa sunat.

Larangan berpuasa pada Aidilfitri disebut secara jelas Rasulullah SAW melalui riwayat daripada Abu Said al-Khudri yang menyatakan Baginda menegah daripada berpuasa pada dua hari raya iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Solat sunat Aidilfitri adalah sunat muakkad yang dituntut Allah dan Baginda SAW, supaya dilaksanakan umat Islam. Ia disyariatkan pada tahun pertama Hijrah. Ia digalakkan kepada pelbagai peringkat umur dan lapisan umat Islam sama ada lelaki, perempuan dan kanak-kanak.

Rasulullah SAW sendiri keluar rumah untuk bersolat hari raya bersama-sama isteri dan anak Baginda. Disunatkan juga keluar rumah ke tempat sembahyang melalui jalan lain dan pulang ke rumah dengan jalan lain.

Ini dinyatakan oleh seorang sahabat bernama Jabir bahawa begitulah keadaan Baginda SAW setiap kali pergi dan balik menunaikan solat hari raya.

Seperkara yang penting untuk dikaitkan dengan Aidilfitri ialah amalan bertakbir. Galakan bertakbir ada disebut dalam al-Quran menerusi firman-Nya bermaksud: "Hendaklah kamu mencukupkan bilangan puasa dan bertakbirlah (mengagungkan dan membesarkan) atas petunjuknya yang diberikan kepadamu semoga kamu bersyukur." (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Laungan takbir bermula pada malam Aidilfitri selepas jelas terlihat anak bulan Syawal dan berakhir apabila hendak ditunaikan solat sunat Aidilfitri. Takbir dianggap penting sebagai satu syiar agama bagi menzahirkan perasaan gembira dan syukur kepada Allah di atas kemenangan melawan hawa nafsu sepanjang Ramadan.

Ia juga dianggap sebagai lambang penyatuan umat Islam seluruh dunia walau di pelosok mana mereka berada. Laungan takbir yang diungkapkan adalah sama, semuanya membesar dan mengagungkan Allah. Inilah lambang kekuatan yang dijelmakan melalui falsafah dan roh takbir hari raya.

No comments:

Post a Comment